KWSP Jalan Raja Laut.  FOTO Aswadi Alias.
KWSP Jalan Raja Laut. FOTO Aswadi Alias.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan e-Payroll, penambahbaikan terhadap portal iAkaun (Majikan), bagi membantu dan mempermudahkan urusan tanggungjawab berkanun majikan, termasuk caruman KWSP, secara digital.

Pengerusinya, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, pihaknya sedar akan peranan digitalisasi yang semakin penting dalam kehidupan seharian, malah situasi pandemik Covid-19 mendorong untuk semua mengadaptasi teknologi digital dengan pantas dan lebih tepat.

"Di KWSP, kepentingan ahli sentiasa diutamakan dalam setiap pendekatan yang kami ambil, di samping inisiatif berterusan dalam meningkatkan tahap perkhidmatan yang memberi manfaat kepada majikan dan pekerja.

"Perkhidmatan e-Payroll ini dibangunkan khas untuk membantu PKS yang menggunakan iAkaun (Majikan) yang tidak mempunyai sistem penggajian atau kemampuan kewangan untuk menggunakannya," katanya di majlis pelancaran e-Payroll secara maya, hari ini.

Hadir sama, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Sistem e-Payroll KWSP memberikan pengalaman yang selamat dan lancar untuk majikan, dengan penekanan terhadap pengiraan automatik bagi pemotongan dan caruman berkanun kepada badan-badan berkanun.

Inisiatif ini adalah sejajar dengan objektif KWSP untuk membantu majikan, khususnya perusahaan kecil sederhana (PKS), memenuhi tanggungjawab mereka terhadap pekerja, di samping melancarkan operasi syarikat.

Sistem e-Payroll ini juga sudah diterima dengan baik oleh 600 PKS yang mendaftar dalam tempoh perintis dan semasa pra-pelancaran baru-baru ini.

Perkhidmatan ini juga dapat membantu majikan menyimpan rekod pekerja mereka secara digital, termasuk gaji.

Dengan ini, e-Payroll dapat meningkatkan kecekapan proses dengan mengurangkan masa yang diperlukan untuk menguruskan aktiviti yang berkaitan kewajipan berkanun.

Sistem e-Payroll ini dibangunkan dengan kerjasama dan diperakui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), dan Human Resource Development Corporation (HRD Corp).

Kerjasama erat ini akan memastikan keperluan undang-undang kekal tepat dan terkini dalam sistem e-Payroll.

Ahmad Badri berkata, KWSP akan terus berkembang untuk kekal relevan dalam era kemajuan teknologi yang pesat serta perubahan yang dinamik dalam landskap pekerjaan.

"Digitalisasi akan memastikan kami memberi perkhidmatan yang berkualiti tinggi, di samping memenuhi ekspektasi ahli dan majikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 10:01 AM