ANGGOTA APM ditempatkan di stesen kuarantin.
ANGGOTA APM ditempatkan di stesen kuarantin.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: "Kepenatan mental dan fizikal dialami ratusan sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM) sejak pandemik Covid-19 menyerang negara Mac tahun lalu berat digambarkan. Namun ratusan 'wira' barisan hadapan ini tidak goyang," ujar Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Wilayah Persekutuan, Kolonel (PA) Effendy Ali.

Menurutnya, peranan APM semakin jelas sepanjang krisis Covid-19 apabila mereka turut ditugaskan di empat pusat pemberian vaksin (PPV) skala mega di ibu kota selain PVV di Putrajaya, Universiti Malaya (UM) dan Wilayah Persekutuan Labuan.

"Antaranya anggota APM memainkan peranan di PVV Stadium Nasional Bukit Jalil, PVV Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), PVV Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) dan PVV Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

"Ini termasuk PVV di Dewan Seroja Presint 15, Putrajaya, Universiti Malaya (UM) dan Dewan Jabatan Kerja Raya (JKR) serta dua lokasi di Labuan," katanya.

Beliau yang juga Pengarah APM Wilayah Persekutuan berkata, dianggarkan seramai 250 sukarelawan APM ditugaskan bermula jam 8 pagi di setiap PVV ini bagi memastikan kelancaran proses vaksinasi bersama kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Rela dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Mereka ditugaskan membantu orang ramai yang hadir untuk temu janji suntikan vaksin terutama memudahkan golongan Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas dan individu.

"Mereka turut berperanan di bahagian pendaftaran temu janji suntikan vaksin, memeriksa suhu badan serta menjadi pemandu arah. Selain itu anggota perubatan APM diletakkan dalam keadaan bersiap sedia di semua PVV," katanya.

APM turut menyelaras 14 stesen kuarantin membabitkan hotel sekitar ibu kota selain 35 hotel di Labuan.
APM turut menyelaras 14 stesen kuarantin membabitkan hotel sekitar ibu kota selain 35 hotel di Labuan.

Menurutnya, dianggarkan seramai lebih 250 anggota APM ditugaskan di semua PVV di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan kini, termasuk membantu kelancaran operasi Trak Vaksin Bergerak di ibu kota bermula Ahad lalu.

"Saya kerap menasihati mereka supaya menjaga disiplin dan tingkah laku ketika berurusan dengan orang ramai di PVV. Mereka perlu banyak bersabar berikutan terdapat pelbagai kerenah akan ditemui.

"Ada yang datang temu janji dalam keadaan marah dan tertekan. Malah, ada juga fobia untuk menerima suntikan. Di sinilah peranan utama anggota APM dalam memastikan proses ini berjalan lancar," katanya.

Menurutnya, budi bahasa dan kesabaran tinggi ketika menjalankan tugas mampu memastikan proses vaksinasi berjalan lancar.

"Selain di PVV, ratusan anggota tetap dan sukarelawan APM turut menyelaras 14 stesen kuarantin membabitkan hotel sekitar ibu kota selain 35 hotel di Labuan.

"Warga asing dan rakyat tempatan yang pulang dari luar negara masih diwajibkan untuk menjalani kuarantin selama 2 minggu di hotel-hotel terpilih ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 7:00 AM