Gambar fail, Tengku Zafrul.
Gambar fail, Tengku Zafrul.
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kerajaan bersedia memberi bantuan tambahan untuk meringankan beban rakyat dan sektor perniagaan yang terjejas menerusi Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bantuan sewajarnya bakal diberikan kepada golongan itu sehingga fasa ketiga atau keempat PPN dan ia akan diumumkan dalam masa terdekat.

Katanya, ketika ini Kementerian Kewangan sedang memperhalusi setiap prosedur operasi standard (SOP) dan merangka penambahbaikan bagi menjamin kelangsungan rakyat serta perniagaan dalam mendepani cabaran pandemik Covid-19.

"Kerajaan sedang mengkaji semua langkah sedia ada dan bantuan tambahan yang boleh dilaksanakan pada fasa kedua, ketiga dan keempat sebaik saja perincian SOP dimuktamadkan.

"Satu contoh, langkah yang akan kita kaji adalah Subsidi Upah. Setakat Mei tahun ini sebanyak RM15 bilion dibelanjakan menerusi program itu yang memanfaatkan 330,000 majikan dan 2.7 juta pekerjaan serta menampung 7.1 juta rakyat dari segi purata isi rumah.

"Program itu dilanjutkan sebulan lagi dengan peruntukan RM1.5 bilion dan secara keseluruhannya sebanyak RM20 bilion sudah dibelanjakan. Kita sedang mengkaji perlanjutan program ini bagi menyokong sektor yang tidak boleh dibuka sehingga fasa ketiga atau keempat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam temubual eksklusif 'Kebajikan Rakyat dan Pelan Pemulihan Negara' yang disiarkan secara langsung di Astro Awani, hari ini.

Ditanya sama ada kerajaan menyediakan geran kepada peniaga terjejas selain bantuan sedia ada yang diberikan, Tengku Zafrul berkata, kemudahan itu perlu dilihat secara menyeluruh dengan pelbagai langkah lain dan kerajaan terus mengkaji serta memantau perkembangan semasa.

Menurutnya, pelaksanaan PPN adalah usaha jelas kerajaan untuk keluar daripada kemelut pandemik Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

"Penerimaan dua dos vaksin menjadi kunci pembukaan beransur-ansur sektor ekonomi dan pemulihan ekonomi Malaysia.

"Setakat ini 1.4 juta mendapat dua dos vaksin dan 200,000 rakyat menerima vaksinasi sehari. Jika momentum itu dikekalkan, kita mampu mencapai imuniti kelompok pada hujung tahun ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 10:42 PM