GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Tempat kerja terus menyumbang kes jangkitan Covid-19 apabila sebanyak 20 kluster direkodkan daripada keseluruhan 25 kluster yang dikenal pasti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster baharu itu menjadikan jumlah kluster di negara ini meningkat kepada 2,557 dengan 795 kluster masih aktif.

Selain kluster tempat kerja, beliau berkata, terdapat empat kluster komuniti dan satu kluster pendidikan.

"Enam kluster tempat kerja dilaporkan di Selangor iaitu Kluster Industri Jalan Balakong Impian di Selangor yang merekodkan sembilan kes positif Covid-19, Kluster Industri Jalan Utarid U5 (73); Industri Solok Waja Dua (32); Industri Batu Empat Sungai Pelek (21); Industri Kilometer 15 (35); dan Industri Jalan KB15 (24).

"Begitu juga di Johor yang melaporkan enam kluster tempat kerja iaitu Kluster Jalan Ho Koon Suan merekodkan 11 kes; Masyhur Empat (20); Jalan Seri Alam (9); Jalan Teluk Sengat (12); Jalan Perindustrian Enam (53); dan Jalan Pamol (14)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, empat kluster tempat kerja di Kedah membabitkan Kluster Dah Industri Desa yang melaporkan 13 kes positif manakala Kluster Dah Industri Hitam (11); Dah Industri Bakar (33); dan Dah Segar Indah (20).

Menurutnya, dua lagi kluster pula di Pulau Pinang membabitkan Kluster Lorong Industri Tujuh (21) dan Tapak Bina Jalan Gelugor (28), selain masing-masing satu kluster di Sarawak yang dikenali Kluster Sawai Niah (32) serta Negeri Sembilan dikenali Kluster Pondok Batu Lapan (58).

Bagi kluster komuniti, beliau berkata, Kluster Jalan Kidurong Empat di Sarawak yang sudah merekodkan 18 kes, Tanjung Ketom di Terengganu (43); Bari di Negeri Sembilan (47) dan Bukit Godek di Melaka (30).

Katanya, terakhir adalah kluster pendidikan dikenali Kluster Taman Midah di Kuala Lumpur yang sudah merekodkan 12 kes.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 7:33 PM