WAN Ahmad Fayhsal membantu Masnita dan Nor Aishah dengan membawa mereka ke PPV. FOTO Ihsan Pejabat Timbalan Menteri Belia dan Sukan
WAN Ahmad Fayhsal membantu Masnita dan Nor Aishah dengan membawa mereka ke PPV. FOTO Ihsan Pejabat Timbalan Menteri Belia dan Sukan
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: "Terima kasih YB (Yang Berhormat), dua kali tolong kami.

"Sebelum ini saya hanya dengar nama YB, tak sangka pula YB sendiri tolong bawa kami untuk mendapatkan vaksin Covid-19," kata Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan Masnita Mansor.

Wanita berusia 38 tahun itu mengakui bertuah kerana dibantu Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal untuk mendapatkan suntikan vaksin Selasa lalu.

Katanya, sebelum ini Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu pernah menolong mengangkat dan menghantar bakul makanan dalam satu program bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) April lalu.

Masnita yang berasal dari Mahang Kedah berkata, dia bersama rakan serumah, Nor Aishah Md Nor, 40, terharu kerana diberi layanan sebegitu.

"Sebelum ini terfikir juga bagaimana nak mendaftar atau pergi ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV). Bila YB ajak naik dengan dia, rasa malu pun ada.

"Apapun, terima kasih kepada YB kerana bantu OKU seperti kami. Semoga Allah SWT membalas budi baik semua," katanya yang mengusahakan perniagaan dalam talian secara kecil-kecilan.

Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal berkata, dia terpanggil untuk membantu Masnita dan Nor Aishah kerana memikirkan kesukaran mereka untuk bergerak.

Katanya, ia memberikannya pengalaman yang berharga dalam usaha Armada mengaktifkan 'Misi 100 jam Khidmat Sukarela' bagi membantu orang ramai mendapatkan vaksin.

"Saya pun tak sangka maklum balas di dalam aplikasi MySejahtera untuk vaksin mereka berdua dapat dalam masa yang singkat.

"Apapun, Armada akan teruskan dengan misi ini sehingga selesai supaya kita dapat bantu lebih ramai lagi.

"Yang penting kita semua kena pastikan bahawa kita dapat suntikan dan capai komuniti kelompok dengan segera," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 4:42 PM