Mohamad Hasan
Mohamad Hasan
Mohd Amin Jalil

Seremban: Titah dan hikmah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengusulkan Parlimen segera bersidang perlulah diterjemahkan dengan segera.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerajaan perlu memanggil sidang Parlimen secepat mungkin tanpa berdolak dalik atau memberikan pelbagai alasan.

"Kerajaan wajar memanggil sidang Parlimen seberapa segera, jangan berdolak-dalik dengan alasan Yang di-Pertuan Agong tidak bertitah bulan berapa Parlimen harus bersidang.

"Pengumuman kerajaan melalui Pelan Pemulihan Negara bahawa Parlimen boleh dibuka menjelang September atau Oktober bukan satu kepastian.

"Perkara itu tertakluk kepada pelbagai syarat seperti pengurangan kes dan kadar vaksinasi melalui pelbagai fasa yang digariskan," katanya tadi.

Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata, Parlimen tidak memerlukan pelbagai fasa dan syarat untuk dibuka kerana institusi itu adalah medan sebenar bagi segala usaha pemulihan diperdebat dan dibincangkan.

Beliau berkata, adalah tidak wajar mempolitikkan titah Al-Sultan Abdullah kerana ia juga tidak akan membantu pemulihan pantas negara ini untuk keluar daripada ancaman pandemik Covid-19.

"Apa jua alasan untuk melengahkan pembukaan Parlimen bukan sahaja tindakan anti demokrasi, tetapi menyinggung kemuliaan dan kebijaksanaan institusi raja yang bebas dan berada di atas politik," katanya.

Al-Sultan Abdullah semalam, menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata, ia bagi membolehkan pelan pemulihan negara yang dibentang kerajaan dan pelaksanaan Ordinan Darurat 2021 dibahaskan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Katanya, pandangan baginda itu dibuat selepas memperhalusi semua pandangan pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat pakar dari pelbagai agensi kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 3:39 PM