Zatul Iffah Zolkiply


Jerteh: Siapa sangka pondok usang yang hampir rebah menyembah bumi menjadi tempat berteduh seorang lelaki di Kampung Teluk Bayu di sini.

Pondok usang yang serba kekurangan itu menjadi tempat berehat Muhammad Yahya, 57, sejak lima tahun lalu.

Lebih memilukan, Muhammad atau mesra disapa Pok Mat dibasahi air setiap kali hujan memandangkan pondok didiaminya tidak berbumbung selain tiada kemudahan air dan elektrik.

Bukan itu sahaja, Pok Mat yang mencari rezeki dengan mencari lokan turut berdepan ancaman haiwan berbisa seperti ular berbisa, lipan dan kala jengking.

Menurut Pok Mat, dia mula menetap di pondok itu selepas dipelawa rakannya yang juga seorang penjual kain.

"Sebelum ini, saya tinggal merata-rata sebelum kawan ajak tinggal di sini, sebenarnya ini rumah lama yang ditinggalkan orang dan sebab tiada pilihan, saya mengambil keputusan tinggal di sini.

"Jika diikutkan memang kemudahan tidak mencukupi tetapi sebab tidak pilihan, saya menetap di sini dan berserah kepada Allah SWT.

"Rumah ini hanya untuk tidur dan setiap hari saya akan keluar selepas solat Subuh untuk mencari lokan dan pulang sebelum Maghrib.

MUHAMMAD Yahya yang tinggal  pondok usang yang serba kekurangan itu menjadi tempat berehat sejak lima tahun lalu  ketika ditemui di Kampung Teluk Bayu, Kuala Besut. FOTO Ghazali Kori
MUHAMMAD Yahya yang tinggal pondok usang yang serba kekurangan itu menjadi tempat berehat sejak lima tahun lalu ketika ditemui di Kampung Teluk Bayu, Kuala Besut. FOTO Ghazali Kori

"Saya akan mencari lokan ini antara dua hingga tiga kali seminggu berdasarkan permintaan, biasanya akan dapat RM10 setiap kali dan mujurlah saya ada dapat bantuan RM200 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya yang sebelum ini tinggal di Kampung Nail, di sini.

Tambah Pok Mat lagi, dia berharap ada pihak sudi memberikan rumah baharu memandangkan pondok yang didiaminya ketika ini tidak selamat dan berisiko untuk roboh pada bila-bila masa.

"Jika diikutkan memang mahu rumah tetapi saya tidak mampu kerana pendapatan yang ada tidak seberapa dan jika ada yang sudi beri, memang saya bersyukur," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata, pihaknya sedia maklum dengan kesusahan dihadapi Pok Mat yang memerlukan rumah baharu.

"Berdasarkan maklumat kita, rumah ini milik seorang wanita yang sudah berpindah ke Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) sebelum Pok Mat menetap di sini bersama rakannya.

"Difahamkan, kehadiran Pok Mat tidak disedari penduduk memandangkan Pok Mat hanya berada di sini pada waktu malam dan kurang berkomunikasi.

"Kita sedang menguruskan rumah baharu untuk Pok Mat yang mana bayaran sewanya akan diuruskan oleh pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

"Buat sementara, kita akan menempatkan Pok Mat di sebuah surau berhampiran sementara menunggu proses dokumentasi antara Maidam dan pemilik selesai.

"Selain itu, kita akan lihat juga bantuan lain yang boleh diberikan kepada Pok Mat," katanya.

Terdahulu, Tengku Zaihan bersama badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Muslim Sejahtera Malaysia (Muszleem) dan Koperasi Azlan Al-Amin Group hadir meninjau dan menyampaikan sumbangan kepada Muhammad.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 2:38 PM