Kawanan gajah yang menceroboh Kampung Kuala Sat di pedalaman Ulu Tembeling dekat Jerantut. (Gambar kanan) Jefridin menunjukkan dinding bilik air rumahnya yang dirosakkan. Foto Roselan Ab Malek
Kawanan gajah yang menceroboh Kampung Kuala Sat di pedalaman Ulu Tembeling dekat Jerantut. (Gambar kanan) Jefridin menunjukkan dinding bilik air rumahnya yang dirosakkan. Foto Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek

Jerantut: Penduduk Kampung Kuala Sat di pedalaman Ulu Tembeling dekat sini, bimbang dengan kemunculan sekawan gajah liar yang menceroboh ke kawasan perkampungan itu dan merosakkan tanaman.

Dalam kejadian antara 1 hingga 2 pagi hari ini, terdapat antara lima hingga enam ekor gajah turut mendekati kediaman penduduk.

Penduduk kampung, Jefridin Bahari, 44, berkata, ketika kejadian itu dia dan keluarganya sedang tidur sebelum dikejutkan isterinya selepas terdengar bunyi bising di luar rumah mereka.

"Pada mulanya kami menyangka ternakan kerbau yang lazimnya berada berdekatan rumah pada waktu malam.

"Selepas dijengah keluar dan menyuluhnya, kami sangat terkejut apabila kelihatan beberapa ekor gajah sedang memusnahkan tanaman kelapa.

"Kira-kira 30 batang tanaman pokok kelapa yang berusia lebih setahun milik saya dan jiran dimakan dan dimusnahkan oleh haiwan ini dan turut merosakkan dinding bilik air," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) Kuala Sat Abdul Jabar Dolah berkata, dia juga menerima maklumat kejadian itu apabila seorang penduduk terserempak dengan kumpulan gajah itu ketika dalam perjalanan ke kebunnya pada 8 pagi hari ini.

"Kebun penduduk berkenaan cuma jarak kira-kira 50 meter dengan rumah, mujurlah dia tidak diganggu haiwan liar itu dan cepat beredar ke hutan berdekatan apabila ternampak kelibat manusia.

"Saya sudah menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk memantau dan menghalau kawanan gajah ini ke hutan supaya tidak mengancam tanaman atau keselamatan penduduk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 12:25 PM