Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Program vaksinasi perlu dipergiatkan sebelum memasuki Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) agar perancangan kerajaan untuk keluar daripada kemelut pandemik Covid-19 berjaya.

Pakar Kesihatan Awam Dr Hanafiah Bashirun berkata, jumlah mereka yang divaksin akan menjadi penentu kepada kelancaran PPN dan keutamaan ketika ini adalah memastikan lebih ramai orang menerima suntikan itu.

Katanya, beliau bimbang jika vaksinasi tidak menyeluruh, akan berlaku risiko jika kes Covid-19 tiba-tiba meningkat kepada 5,000 kes sehari ketika fasa kedua berlangsung.

"Ketika itu (jika ia berlaku), adakah kita akan kembali semula ke Fasa Satu atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau bagaimana?

"Kita kena fikir soal sektor ekonomi kerana jika dilihat, fasa itu terlalu panjang sehingga enam bulan yang mana sektor ekonomi mana yang mampu bertahan dalam tempoh itu tanpa beroperasi atau beroperasi pada kadar rendah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dr Hanafiah berkata, banyak sektor ekonomi juga akan terjejas dalam tempoh itu dan mengambil kira itu, beliau menyarankan usaha memberi vaksin kepada rakyat dipergiatkan lagi.

"Jadikan orang lebih mudah mendapat vaksin, yang mana boleh dapat di hospital dan klinik swasta, klinik kesihatan, program vaksin menggunakan van atau lori serta menggunakan dewan orang ramai bagi yang tinggal jauh.

"Jalankan vaksinasi sebanyak mungkin dan lupakan dahulu saringan Covid-19, sebaliknya tenaga kerja ditumpukan untuk vaksinasi," katanya yang memberi contoh jika sehari 300,000 orang divaksin, jumlah itu boleh mencapai tiga juta orang dalam tempoh 10 hari yang merangkumi 10 peratus daripada populasi negara dalam tempoh dua minggu.

Beliau percaya negara boleh beralih kepada Fasa Kedua PPN dalam keadaan baik sekiranya perkiraan 300,000 penerima vaksin sehari berjaya dilaksana.

Dr Hanafiah juga mencadangkan supaya supaya unit rawatan rapi (ICU) dan mesin bantuan pernafasan hospital swasta digunakan untuk mengoptimumkan rawatan ke atas pesakit Covid-19 buat masa ini.

PETUGAS kesihatan memberi suntikan vaksin Covid-19 ke atas penerima di Pusat Pemberian Vaksin Dewan Kompleks Sukan Pandamaran, Pelabuhan Klang. FOTO Faiz Anuar
PETUGAS kesihatan memberi suntikan vaksin Covid-19 ke atas penerima di Pusat Pemberian Vaksin Dewan Kompleks Sukan Pandamaran, Pelabuhan Klang. FOTO Faiz Anuar

Menurutnya, ia bagi meringankan beban petugas kesihatan kerajaan dan mengelak kelumpuhan sistem kesihatan negara manakala, masalah kekurangan ICU dan mesin bantuan pernafasan dapat diselesaikan.

"Cuma menjadi isu pihak insurans tidak melindungi dan menanggung kos bagi pesakit Covid-19. Namun dalam tempoh darurat ini mungkin kerajaan boleh menegaskan kepada pihak insurans untuk membenarkan, ada polisi buat pesakit Covid-19, " katanya.

Mengenai kluster tempat kerja dan kilang yang masih banyak, beliau mencadangkan supaya pihak berkuasa membuat pemeriksaan secara rawat terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) selain mengeluarkan kompaun tinggi sebagai amaran buat mereka.

"Belum masuk ke fasa dua PPN pun kes di tempat kerja dan kilang masih banyak. Bayangkan nanti jika lebih banyak sektor ekonomi dibuka, apa akan berlaku?

"Sebab itu pekerja terbabit juga perlu divaksin mulai sekarang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 4:34 PM