RAHMAD ketika lawatan di PPV Dewan JAPERUN Ayer Molek. FOTO Amir Mamat
RAHMAD ketika lawatan di PPV Dewan JAPERUN Ayer Molek. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat


Melaka: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu pertama di negeri ini akan dibuka di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam, awal bulan depan.

EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, sebelum ini kerajaan negeri menerusi Jabatan Kesihatan negeri merancang menyediakan khidmat PPV pandu lalu itu di Dewan Tun Ali, Bukit Katil, namun terpaksa dipindahkan selepas penilaian mendapati kawasan itu belum sesuai untuk melaksanakan kaedah berkenaan.

"Berdasarkan penilaian Jabatan Kesihatan, Dewan Tun Ali tidak sesuai untuk dijadikan PPV pandu lalu berikutan penerima dos satu dan dua dilakukan secara serentak, sekali gus mengakibatkan kesesakan di kawasan terbabit.

"Bagi mengatasi masalah itu, kita memutuskan untuk memindahkan PPV pandu lalu ke LTAM," katanya selepas melawat PPV di Dewan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Ayer Molek di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, PPV LTAM secara pandu lalu itu mampu menampung 800 penerima vaksin sehari.

Sementara itu, beliau berkata, PPV pandu lalu itu adalah antara tujuh PPV awam baharu yang akan dibuka dalam tempoh terdekat.

Sehingga kini, katanya, Melaka mempunyai 14 PPV awam dan satu PPV industri di kilang Composite Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM) Batu Berendam yang mula beroperasi hari ini.

Sehingga 12 Jun lalu, beliau berkata, seramai 14,832 warga emas di Melaka sudah melengkapkan dos kedua dam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) fasa kedua.

"Kerajaan negeri akan mengadakan program vaksinasi bergerak bagi mendekati golongan warga emas luar bandar dalam usaha mempercepatkan suntikan vaksin itu kepada golongan terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 3:26 PM