ABDUL Rahim (kanan) melakukan tinjauan sekatan di Kampung Lakai berikutan PKPD di kampung berkenaan. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
ABDUL Rahim (kanan) melakukan tinjauan sekatan di Kampung Lakai berikutan PKPD di kampung berkenaan. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap

Jelebu: Jangkitan disebarkan seorang wanita berusia 28 tahun dikenal pasti punca penularan Covid-19 di Kampung Lakai di sini, hingga menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di kampung berkenaan bermula kelmarin,

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Jelebu, Abdul Rahim A Aziz berkata, wanita itu menjalani ujian saringan bergejala di Hospital Jelebu pada 30 Mei lalu sebelum disahkan positif pada 31 Mei.

Katanya, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jelebu kemudian menjalankan saringan kontak rapat ke atas 56 individu sebelum 36 daripadanya disahkan positif.

"PKD kemudian menjalankan saringan besar-besaran membabitkan 345 penduduk kampung itu. Sehingga 13 Jun lalu, 22 penduduk disahkan positif dan dihantar ke pusat kuarantin di Kuala Pilah.

"Kesemua 323 penduduk yang lain diarah menjalani kuarantin penuh di rumah masing - masing," katanya pada sidang media di sekatan jalan raya (SJR) Kampung Lakai di sini, tadi.

Hadir sama Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sembilan Roslin Hashim Abd Hamid dan Ketua Polis Daerah Jelebu Deputi Superintendan Maslan Udin.

Ditanya mengenai kelewatan mengadakan PKPD, Abdul Rahim yang juga Pegawai Daerah Jelebu berkata PKPD di Kampung Lakai dilaksanakan selepas kesemua penduduk menjalani ujian saringan sekali gus memudahkan urusan pengasingan penduduk yang positif.

Katanya penduduk akan menjalani ujian saringan kedua hari ini dan akan terus dihantar ke pusat kuarantin jika didapati positif Covid-19.

"Berdasarkan apa yang kita laksanakan ini, berkemungkinan PKPD di Kampung Lakai boleh ditamatkan lebih awal," katanya.

Abdul Rahim berkata, pihaknya akan menyalurkan bantuan makanan basah setiap tiga kali sehari manakala makanan kering seminggu sekali.

Dalam perkembangan lain, Abdul Rahim berkata, faktor alam sekitar dan semula jadi antara faktor Mukim Kenaboi di daerah ini masih menjadi zon hijau.

Sementara itu, Maslan berkata, seramai 45 individu sudah dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Jun 2021 @ 6:05 PM