GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) membuka semula permohonan kemasukan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke program sijil, asasi, diploma dan ijazah sarjana muda ke universiti awam (UA) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) bermula esok sehingga 21 Jun ini.

KPT dalam kenyataan berkata, keputusan itu dibuat bagi memberi peluang kepada pelajar yang tidak berkesempatan untuk berbuat demikian dalam tempoh yang sudah ditetapkan sebelum ini.

"Sehubungan itu, pemohon boleh melayari portal rasmi http://upu.mohe.gov.my sama ada untuk membuat permohonan kemasukan atau membuat pilihan program pengajian untuk melanjutkan pengajian ke UA dan ILKA di mana berkaitan.

"Pelajar yang belum pernah memohon boleh mengemukakan permohonan dan memilih program pengajian yang dikehendaki manakala, bagi pelajar yang sudah memohon sebelum ini boleh mengemaskini pilihan program pengajian.

"Permohonan boleh dilakukan bermula esok sehingga 21 Jun ini dari jam 12 tengah hari hingga 5 petang,"katanya.

Dalam pada itu, KPT berharap dengan keputusan membuka semula permohonan ini ia memberi ruang yang secukupnya kepada pelajar untuk mengemukakan permohonan bagi memudahkan urusan permohonan bagi melanjutkan pengajian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Jun 2021 @ 3:39 PM