TAUFIQ menerima vaksin di PPV UMS. FOTO Rafiqah Dahali
TAUFIQ menerima vaksin di PPV UMS. FOTO Rafiqah Dahali
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Pengoperasian Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang bermula hari ini menjadi satu usaha universiti terbabit dalam membantu meningkatkan lagi imuniti kelompok di Sabah.

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin berkata, kapasiti dan jumlah tenaga kerja di PPV UMS harus dimanfaatkan dengan sebaiknya berikutan kadar penvaksinan di negeri ini masih di tahap rendah.

"Ini sebenarnya adalah kerja sukarelawan pihak kami. Kita mempunyai tenaga pakar seperti doktor dan jururawat di sini jadi kalau kita tidak manfaatkan kemahiran mereka, bukankah ia menjadi satu pembaziran?

"Jadi dalam keadaan di mana kadar penvaksinan di Sabah antara yang rendah jadi saya anggap ini adalah usaha terbaik yang pihak kami boleh lakukan untuk membantu negeri ini.

"Kita tidak akan selamat kalau ada individu yang belum divaksin dan itu menjadi kebimbangan kita. Memandangkan kita ada tenaga pakar, tenaga kerja dan juga sumber, jadi dengan usaha ini kami dapat menyumbang dan membantu masyarakat," katanya dalam sidang media khas selepas menerima vaksin dalam Program Pemberian Vaksinasi Di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Malaysia Sabah, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Taufiq turut memberitahu pemberita bahawa PPV UMS mempunyai kapasiti untuk memberi 1,000 dos suntikan dos vaksin setiap hari.

"Namun kita mengharapkan agar pihak kita memperoleh jumlah vaksin yang mencukupi untuk kita berikan bukan hanya untuk kakitangan sahaja malah juga pelajar serta masyarakat di kawasan setempat khususnya Sepanggar ini.

"Hari ini kita sasarkan sebanyak 200 suntikan vaksin diberikan dan 200 suntikan vaksin diberikan setiap hari (Isnin hingga Jumaat). Bermakna untuk minggu ini kita sasarkan sebanyak 1,000 suntikan vaksin diberikan.

"Kita juga akan mengusahakan agar sekitar 7,000 hingga 8,000 individu termasuk pelajar,kakitangan dan ahli keluarga kakitangan diberikan suntikan vaksin jadi kami juga mengharapkan bekalan vaksin mencukupi untuk minggu seterusnya," katanya.

Dalam pada itu, berhubung perkhidmatan ujian saringan Covid-19 oleh UMS, Taufiq berkata, setakat ini 40,000 ujian saringan dilakukan pihaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Jun 2021 @ 11:57 AM