SEBAHAGIAN kawasan hutan yang masih gondol berikutan aktiviti pembalakan dan perlombongan di Tasik Chini sejak beberapa tahun lalu. FOTO Farizul Hafiz Awang
SEBAHAGIAN kawasan hutan yang masih gondol berikutan aktiviti pembalakan dan perlombongan di Tasik Chini sejak beberapa tahun lalu. FOTO Farizul Hafiz Awang
BERNAMA

Kuantan: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) akan mencadangkan supaya keseluruhan Hutan Simpan Chini, Pekan diwartakan sebagai Hutan Perlindungan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.

Menurut kenyataan JPNP hari ini, peruntukan dianggarkan berjumlah RM10 juta akan digunakan untuk memulihkan kawasan seluas kira-kira 202.34 hektar di hutan berkenaan.

"Pada Julai 2020, kerajaan negeri mengarahkan JPNP untuk menyegerakan aktiviti pemulihan di kawasan ceroboh lombong di Tasik Chini, selain mempergiat usaha memulihkan kawasan lombong yang dilakukan melalui Kumpulan Wang Pemulihan Lombong selepas tiada lesen baharu diluluskan sejak 2019.

"Usaha ini banyak dilakukan di kawasan zon penampan seluas kira-kira 13.12 hektar dengan menanam pelbagai spesies buluh, tanaman tutup bumi serta spesies pokok bersesuaian seperti pokok merawan siput jantan dan meranti temak nipis," kata JPNP.

Selain itu, JPNP dengan kerjasama Kementerian Tenaga dan Sumber Asli juga merancang Projek Perintis Perhutanan Sosial bersama Komuniti Orang Asli di kawasan berkenaan dengan beberapa siri konsultasi bersama masyarakat itu dari Kampung Gumum dan Kampung Melai, yang dilaksanakan sejak 2018.

Kerajaan negeri menerusi JPNP juga melancarkan kempen '1 pokok, 1 Rakyat Negeri Pahang' yang menyasarkan penanaman pokok sebanyak lima juta batang pada tahun ini, yang turut membabitkan kawasan sekitar Tasik Chini.

"Semua pokok yang ditanam di Chini akan direkodkan melalui kempen ini yang juga dilaksanakan bagi menyokong dan menjayakan Program Penghijauan Malaysia yang menyasarkan tanaman sehingga 100 juta pokok menjelang 2025," menurut kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Jun 2021 @ 5:23 PM