TASIK Chini.
TASIK Chini.
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mengalu-alukan keprihatinan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan kerajaan negeri untuk mengambil tindakan serius terhadap kelestarian alam sekitar dan sumber air di kawasan Tasik China.

Menterinya, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, selain itu pihaknya juga menyokong tindakan dan komitmen kerajaan negeri untuk tidak meluluskan mana-mana permohonan baharu aktiviti perlombongan di dalam kawasan Tasik Chini.

Katanya, tindakan itu selaras dengan persetujuan kerajaan negeri untuk mewartakan Taman Negeri Tasik Chini sebagai kawasan Hutan Simpan Chini pada tahun 2019.

"Konsep 'whole of government approach' iaitu kerjasama strategik antara KASA dan agensi lain termasuk kerajaan negeri ini amat penting dalam memastikan kelestarian tapak 'Biosphere Reserve UNESCO' iaitu Tasik Chini sentiasa dilindungi sebagai khazanah alam dunia.

"Kementerian sentiasa mengutamakan kepentingan planetery health (kesihatan bumi) demi kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Mengenai kenyataan Ahli Parlimen Kuantan pada Jumaat lalu yang mendakwa kebarangkalian kehadiran logam berat di Tasik Chini dan menggesa JAS menambah parameter bacaan kualiti air di tasik berkenaan, Tuan Ibrahim berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) sentiasa komited menjalankan pemantauan kualiti air tasik berkenaan secara berterusan sejak tahun 2005.

"Terdapat 15 stesen pemantauan kualiti air di lokasi yang berbeza dengan kekerapan pemantauan sekali setiap bulan bagi setiap stesen dan sebanyak 20 parameter yang diambil kira (analisis) dalam pemantauan yang dijalankan pada stesen.

"Antaranya stesen Pepejal Terampai (SS), keperluan oksigen biologi (BOD), klorida, fosfat, sulfat, fluorida, keperluan oksigen kimia (COD), nitrat nitrogen, ammoniakal nitrogen (AN), minyak dan gris serta E.coli dan 9 parameter logam berat merangkumi besi, mangan, tembaga, nikel, plumbum, zink, kadmium, arsenik dan raksa," katanya.

Tuan Ibrahim berkata, berdasarkan laporan parameter utama kualiti air bagi tahun 2016 sehingga Mac tahun ini, ia menunjukkan kualiti air di Tasik Chini dalam kategori bersih dan selamat untuk semua hidupan terutamanya hidupan akuatik.

"Tiada keperluan untuk menambah parameter bacaan kualiti air kerana parameter yang digunakan oleh JAS adalah mengikut piawaian yang ditetapkan," katanya.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan kerajaan Pahang memberikan persetujuan kepada sebuah syarikat untuk menjalankan operasi perlombongan kira-kira tiga kilometer dari Tasik Chini, sehingga menimbulkan kemarahan aktivis alam sekitar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Jun 2021 @ 2:21 PM