LAPORAN portal Harian Metro
LAPORAN portal Harian Metro
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


Kuala Lumpur: Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara mencadangkan kerajaan mewujudkan pusat tahanan dan pemulihan khas kepada golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Pengerusinya Datuk Razali Idris berkata, pusat seperti itu perlu berikutan terdapat kes apabila golongan berkenaan bertindak melampau dengan menghasut dan mencabar pihak berkuasa.

Katanya, dalam kes terbaru seorang usahawan kosmetik transgender bertindak menayangkan payu dara secara langsung di platform media sosial, serta melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap kanak-kanak lelaki bawah umur.

"Perbuatan melampau sehingga mengganggu ketenteraman awam dan kesejahteraan rakyat, terutama di media sosial ini adalah suatu perkara yang tidak boleh diterima dalam masyarakat Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Razali berkata, Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara berterima kasih di atas keprihatinan rakyat Malaysia yang menegur golongan terbabit dengan membuat laporan polis.

Malah, katanya, polis juga sudah menahan reman golongan terbabit akibat perbuatan melampau yang dilakukannya.

"Masyarakat tidak boleh membiarkan kebiadapan golongan LGBT ini yang begitu terbuka dan berleluasa.

"Justeru Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara mencadangkan keperluan mewujudkan pusat tahanan dan pemulihan khas LGBT bagi merawat dan membimbing golongan itu ke arah kebaikan, kerohanian dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Malah, Razali berkata, pihaknya percaya polis, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sudah mempunyai modul dan program bagi mendekati golongan LGBT supaya mereka tidak berasa terpinggir.

Justeru katanya, Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara turut mengesyorkan pendidikan mengenai LGBT dimulakan sejak di peringkat sekolah.

"Ini supaya pelajar terdedah kepada gejala gaya hidup sedemikian yang menjurus kepada perbuatan seks bebas, kerosakan institusi kekeluargaan serta masyarakat dan penyumbang kepada penularan jangkitan HIV.

"Selain itu guru kaunseling juga perlu memainkan peranan menyebarkan maklumat mengenai perkara itu dan bagaimana untuk mengelak atau menangani permasalahan terbabit," katanya.

Semalam, pemilik akaun Instagram safieyillias94 yang juga pengasas kosmetik dan rakannya direman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung komunikasi lucah dan amang seksual membabitkan kanak-kanak bawah umur.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 7:16 PM