HAMZAH pada sidang Media Rangkuman Operasi Pematuhan SOP PKP. FOTO ihsan KDN
HAMZAH pada sidang Media Rangkuman Operasi Pematuhan SOP PKP. FOTO ihsan KDN
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Mana-mana individu atau pihak yang didapati mengeluarkan kenyataan menghina institusi diraja akan berdepan dengan tindakan tegas.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pihaknya mendapati sejak akhir-akhir ini terdapat peningkatan kes-kes penghinaan terhadap institusi diraja kebelakangan ini melalui media sosial.

"Dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan perintah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Sekatan Pergerakan Penuh (SPP), KDN melalui semua agensi penguatkuasaan akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang didapati mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam mengikut lunas perundangan negara," katanya pada sidang media Rangkuman Operasi Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) PKP hari ini.

Dalam perkembangan lain, Hamzah turut berkata jika Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad tidak meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri tahun lalu, cadangan untuk sebuah badan seperti Majlis Gerakan Negara (Mageran) ditubuhkan tidak perlu pun dikemukakannya.

"Dia kata apa? Dia mencadangkan diadakan Mageran dan berikan kepadanya? Tanya kepadanya, kalau dia tidak berhenti dulu, tak ada lah permintaan dia.

"Jadi kalau kau dah berhenti daripada menjadi Perdana Menteri yang lebih besar... 'enough is enough," katanya.

Dr Mahathir sebelum ini mencadangkan supaya sebuah badan seperti Mageran ditubuhkan ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Khamis lalu.

Beliau dilaporkan berkata, cadangan itu dikemukakan atas keyakinan ia mampu menyelesaikan isu ekonomi, politik, sosial dan kesihatan yang dihadapi negara, kesan penularan pandemik Covid-19.


Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 5:33 PM