Muhammad Farhat menunjukkan keputusan 12 A+ dalam SPM 2020. FOTO ihsan Muhammad Farhat Mohd Fuad
Muhammad Farhat menunjukkan keputusan 12 A+ dalam SPM 2020. FOTO ihsan Muhammad Farhat Mohd Fuad
Murnaena Muhammad Nasir


Kuala Lumpur: Dugaan pandemik Covid-19 tidak menghalang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Lumpur, Muhammad Farhat Mohd Fuad, 18, memperoleh 12 A+ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

Muhammad Farhat bersyukur usaha yang dilakukannya membuahkan hasil dan dapat membanggakan bapa dan ibu Mohd Fuad Basri, 62 dan Norlida Mohd Tahir, 58.

"Saya tidak sangka sehingga mengalir air mata keputusan SPM sebaik ini kerana menjangkakan akan dapat 10 A atau 11 A saja.

"Syukur, Alhamdulillah, kejayaan ini berkat doa ibu bapa, guru-guru yang memberi tunjuk ajar serta sahabat yang banyak memberi sokongan," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Anak bongsu lima beradik itu turut membuktikan walaupun dirinya bukan daripada keluarga senang namun boleh berjaya atas usaha yang konsisten.

"Kadang-kadang ada masalah dari segi capaian internet kerana saya hanya menggunakan pelan data sehingga terpaksa keluar rumah.

"Memandangkan saya tinggal di pangsapuri, jadi kebiasaannya saya akan duduk di tepi tangga untuk dapatkan capaian internet yang lebih baik," katanya yang menetap di Sentul, di sini.

Berkongsi rahsia kejayaannya, Muhammad Farhat berkata, dia sering bangun seawal 4 pagi bagi menunaikan solat hajat dan tahajud.

"Waktu sujud terakhir saya akan doakan untuk semua orang dan sebut setiap nama rakan-rakan lelaki saya agar sama-sama berjaya dalam pelajaran.

"Manakala, rakan perempuan saya sebut secara umum saja, kemudian selesai solat baru saya mula belajar subjek yang perlu banyak membaca sehingga Subuh," katanya.

Menurutnya, dia juga sentiasa mengamalkan surah al-Waqiah setiap selesai solat Subuh dan solat dhuha pada 10 pagi iaitu ketika waktu rehat kelas dalam taliannya.

"Waktu pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) saya akan fokus kerana saya yakin setiap yang diajar guru pasti akan berguna dalam peperiksaan nanti.

"Dalam jam 5 petang adalah masa saya berehat atau bersukan kerana saya percaya otak yang cerdas datangnya dari badan yang sihat.

"Saya juga akan cuba elakkan bermain telefon bimbit pada jam 7 hingga 9 malam bagi manfaatkan masa itu untuk menyambung dan mengulang hafazan," katanya.

Muhammad Farhat berkata, selain disiplin dalam mengulang kaji pelajaran, dia juga sering berkongsi ilmu bersama rakannya yang lain terutama subjek Matematik dan Matematik Tambahan.

"Saya lemah subjek Bahasa Inggeris dan sentiasa dapat keputusan B tetapi berkat saling bantu-membantu antara rakan yang lain saya berjaya peroleh A+.

"Walaupun banyak masa belajar melalui PdPR, namun berkat penglibatan yang aktif kami mewujudkan sendiri kumpulan belajar di Instagram, akhirnya kami semua peroleh keputusan yang cemerlang," katanya.

Kongsinya, kumpulan belajar di Instagram itu mempunyai 25 orang rakannya yang juga pelajar dari sekolah sama dan rata-rata memperoleh keputusan 10 A dan 11 A.

Ditanya mengenai perancangan melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya, Muhammad Farhat berkata, Universiti Malaya (UM) antara institusi pilihannya selain bercita-cita menyambung pengajian di Korea atau New Zealand.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 6:22 PM