Nurul Shafina bersama suami,Nelson Minan selepas selepas melahirkan bayi perempuan di dalam kereta ketika Sekatan Jalan Raya(SJR) di Expressway Kuching - Samarahan malam tadi. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Nurul Shafina bersama suami,Nelson Minan selepas selepas melahirkan bayi perempuan di dalam kereta ketika Sekatan Jalan Raya(SJR) di Expressway Kuching - Samarahan malam tadi. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Norsyazwani Nasri


Kuching: "Pengalaman ini tidak akan dilupakan seumur hidup," kata Nurul Shafina Siang, 26, wanita yang melahirkan di dalam kereta dengan bantuan dua polis wanita bertugas di sekatan jalan raya (SJR) di Expressway Kuching-Samarahan, malam tadi.

Dalam kejadian 11.50 malam itu, Nurul Shafina melahirkan bayi perempuan seberat 3.6 kilogram dengan dibantu dua anggota polis wanita berkenaan.

Nurul Shafina berkata, pengalaman melahirkan anak ketiganya itu menjadi sejarah yang tersendiri baginya.

"Rasa takut, cemas semua bercampur dalam diri, namun saya bersyukur kerana bayi perempuan ini selamat dilahirkan hasil bantuan anggota polis wanita yang bertugas di SJR berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, suaminya, Nelson Minan,28, berkata, selepas panik seketika, dia berjaya bertenang dan memberi semangat serta perangsang kepada isterinya ketika berdepan situasi itu.

Katanya, dia membawa isterinya dengan kereta yang dipandu rakan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) yang terletak lebih satu jam perjalanan dari rumahnya di Semera Ulu, Asajaya.

"Apabila isteri mengadu sakit perut mahu melahirkan anak, saya bergegas membawanya ke hospital dengan dibantu seorang rakan.

"Kami tidak sempat sampai ke hospital, dalam keadaan cemas itu saya terpaksa memegang kepala bayi yang sudah keluar.

"Kami terpaksa mendapatkan bantuan daripada anggota polis yang bertugas di SJR, mujurlah ada anggota polis wanita bertugas membantu menyambut kelahiran bayi yang lehernya terbelit tali pusat," katanya.

Nelson berkata, dia terhutang budi dan berterima kasih kepada anggota polis yang membantu ketika dia dan isteri berdepan situasi cemas itu.

"Sebenarnya segala persiapan sudah dibuat untuk menyambut kelahiran bayi ini. Kami sudah membeli pakaian bayi lelaki berdasarkan imbasan yang dibuat sebelum ini.

"Buat masa ini kami belum memikirkan nama untuk bayi perempuan ini kerana isteri masih berada di wad," katanya.

Berita berkaitan:

  • Lahir anak di sekatan jalan raya
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 4:57 PM