GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Omar Ahmad.


Kulai: Sebanyak 57 kes positif Covid-19 dikesan daripada 913 saringan yang dilaksanakan di Felda Inas di sini, sehingga 9 Jun lalu.

Felda Inas dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), bermula hari ini hingga 24 Jun depan.

Pegawai Daerah Kulai merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kulai, Zainor Adani berkata, baki daripada saringan itu, iaitu 779 adalah negatif dan 77 masih menunggu keputusan.

"PKPD Felda Inas membabitkan 302 rumah terdiri daripada peneroka dan pekerja Felda yang menjadikan kira-kira 1,668 orang berada dalam kawasan PKPD Felda Inas.

"Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kulai akan mengambil alih pengurusan di dalam kawasan PKPD Felda Inas," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliu berkata, Bilik Gerakan PKPD Felda Inas diaktifkan sejak semalam bagi menyelaras pengurusan di dalam kawasan PKPD Felda Inas.

"PDRM akan mengetuai hal berkaitan keselamatan dan dibantu oleh RELA (Jabatan Sukarelawan Malaysia)

"Sebarang sumbangan untuk penduduk dalam kawasan PKPD Felda Inas perlulah melalui bilik gerakan bagi tujuan penyelarasan dan akan diagihkan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Southern Volunteers Daerah Kulai," katanya.

Menurut Zainor, saringan dan pengesanan kontak bagi Kluster Jalan Cendana pula masih giat dilakukan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kulai.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 9:39 AM