TREN LRT yang terbabit dalam kemalangan, gambar fail. FOTO Ihsan Facebook Dr WEE KA SIONG
TREN LRT yang terbabit dalam kemalangan, gambar fail. FOTO Ihsan Facebook Dr WEE KA SIONG
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Pengabaian terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) menjadi punca kepada pelanggaran dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) dalam terowong pada 24 Mei lalu.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, dapatan jawatankuasa siasatan mendapati pelanggaran berlaku antara Tren 40 yang mengalami masalah teknikal apabila kedua-dua sistem Komunikasi On-Board Vehicle (VOBC) gagal berfungsi dengan Tren 81 yang dipenuhi penumpang dan dilepaskan untuk meneruskan perjalanan dari stesen KLCC sebelum mendapat pengesahan tepat situasi tren yang mengalami masalah itu.

Beliau berkata, Kabinet dimaklumkan oleh jawatankuasa yang diketuai Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Isham Ishak, pada 6.26 petang hari kejadian satu daripada dua VOBC dalam Tren 40 yang mula digunakan pada 2010 itu, gagal berkomunikasi dengan Pusat Arahan Operasi (OCC) menyebabkan tren itu perlu dikosongkan di stesen seterusnya sebelum perlu dikeluarkan daripada perkhidmatan serta dibawa ke depoh Lembah Subang untuk penyelenggaraan.

Katanya, ia dilakukan dengan kawalan automatik (ATO) VOBC kedua dalam tren itu yang masih berfungsi.

Bagaimanapun, katanya, pada 8.13 malam, VOBC kedua Tren 40 juga gagal berfungsi ketika ia dalam perjalanan ke depoh Lembah Subang, menyebabkan OCC tidak dapat mengawal tren yang terkandas antara stesen KLCC dan Kampung Baru.

"Berikutan itu, hostler atau pemandu diarahkan mengendalikan Tren 40 secara manual ke stesen Dang Wangi untuk membuat 'reset' terhadapnya untuk kembali ke mod ATO.

"Siasatan mendapati ketika proses pemindahan Tren 40 untuk diset semula dan dikembalikan kepada ATO, kedua-dua Hostler dan pengawal (controller) OCC mengabaikan SOP kritikal tertentu.

"Ini secara tidak sengaja mengakibatkan Tren 40 bergerak secara manual ke arah Gombak (arah utara) dan bukannya ke selatan menuju ke depoh," katanya dalam sidang media Laporan Jawatankuasa Siasatan bagi Insiden Pelanggaran Tren LRT Kelana Jaya pada 24 Mei lalu.

Beliau berkata, pada masa sama, Tren 81 yang ditahan di stesen KLCC dilepaskan untuk melakukan perjalanan meninggalkan stesen KLCC menuju ke stesen Kampung Baru tanpa mendapat pengesahan tepat yang mengatakan Tren 40 diset semula kepada ATO yang mengakibatkan pertembungan kedua-dua tren.

Dalam perkembangan berkaitan, Ka Siong berkata, tiga penumpang tren LRT yang sebelum ini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) kini diletakkan di wad pemerhatian pembedahan saraf dan menunjukkan perkembangan positif.

"Kami lega selepas mereka mendapat perhatian rapi daripada pakar-pakar perubatan sejak dirawat," katanya.

Pada masa sama, Ka Siong, ketika menjawab soalan pemberita, berkata pihak yang terbabit dalam insiden itu berhak untuk membuat tuntutan.

Malah katanya, kes itu juga sudah dibawa ke mahkamah.

"Prasarana akan berdepan dengan hal ini kerana mereka mempunyai perlindungan insurans," katanya.

Dalam kejadian pada 24 Mei itu, seramai 47 penumpang cedera parah manakala 166 mengalami kecederaan ringan apabila sebuah tren yang membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang bertembung di dalam terowong berdekatan Stesen KLCC.

Tiga daripada penumpang berkenaan mengalami pendarahan otak dan dirawat di HKL.

Pada 31 Mei lalu, keluarga seorang daripada penumpang tren LRT yang dirawat di ICU menuntut pampasan RM1.8 juta daripada pengendali tren berkenaan susulan insiden berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 8:33 PM