Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin ketika sidang media selepas membuat lawatan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin ketika sidang media selepas membuat lawatan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Noor Atiqah Sulaiman


Sepang: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membuat beberapa penambahbaikan dalam sistem MyTravelPass serta laluan keluar dan masuk pelancong yang tiba di negara bagi menghalang penularan Covid-19 di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, beliau mendapati terdapat beberapa kelemahan dalam sistem oleh Jabatan Imigresen (JIM) serta laluan digunakan oleh pelancong ketika sesi lawatannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

"Antara kelemahannya adalah ketika pelancong itu mahu menaiki penerbangan, mereka perlu menunjukkan di kaunter sama ada mempunyai kelulusan MyTravelPass atau sebaliknya. Hanya yang ada kelulusan sahaja yang dibenarkan untuk menaiki kapal terbang.

"Namun bila tibanya mereka di Malaysia, sebenarnya mereka tidak mempunyai kelulusan pun dalam sistem MyTravelPass dan ternyata tindakan itu adalah satu penipuan.

"Kelemahan begitu yang kita perlu fikir dan sekat daripada terjadi lagi, mungkin kita akan menggunakan kod QR khas sebelum mereka dapat menaiki pesawat. Kerana kita tidak mahu mereka terlepas ke Malaysia dan terpaksa menghantar mereka pulang ke negara asal semula," katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan di KLIA, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Hamzah berkata JIM sentiasa tegas memberikan kelulusan MyTravelPass bagi menghalang penularan Covid-19 di negara ini.

Hamzah berkata, statistik permohonan MyTravalPass dari 7 Oktober sehingga semalam ialah sebanyak 201,076 permohonan yang diterima namun hanya 114,767 permohonan yang diluluskan.

"Permohonan yang diterima termasuklah daripada warganegara Malaysia, lawatan sosial atau penduduk tetap (PR), ekspatriat, pekerja asing, pembantu rumah, pelajar, pasangan dan anak kepada warganegara atau PR dan mempunyai pas residen," katanya.

Selain MyTravelPass, Hamzah berkata pihaknya juga akan menambahbaik laluan pengunjug yang tiba dari luar negara di lapangan terbang berkenaan sebelum tiba di kaunter saringan kesihatan serta Imigresen.

"Kalau kita tengok, daripada penumpang itu turun sahaja pesawat sehingga ke kaunter saringan kesihatan serta Imigresen terdapat beberapa kelemahan. Mereka (pelancong) ini tidak mempunyai satu laluan khas dan boleh singgah atau jumpa dengan sesiapa sahaja di tengah-tengah.

"Contohnya individu ini datang dari India, mereka boleh bertembung dengan individu dari negara lain tanpa halangan. Jadi mungkin selepas ini kita akan buat satu laluan khas di kawasan tertentu untuk digunakan oleh mereka yang baru tiba ke negara ini untuk terus ke kaunter saringan kesihatan atau Imigresen tanpa bertembung dengan orang lain" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 7:54 PM