FOTO HIASAN. FOTO Arkib NSTP
FOTO HIASAN. FOTO Arkib NSTP
Oleh Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Seorang lelaki berusia 57 tahun ditahan kerana merempuh sekatan jalan raya (SJR) berhampiran Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, jam 8.30 malam semalam.

Lelaki yang berada di bawah pengaruh alkohol itu juga hampir melanggar 15 anggota petugas barisan hadapan yang bertugas di SJR berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, ketika kejadian, suspek memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire secara berbahaya dari arah Georgetown ke Bayan Lepas.

"Suspek kemudiannya melanggar kon keselamatan pertama dan diseret sehingga ke khemah yang menempatkan petugas keselamatan.

"Seramai 15 anggota keselamatan yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang bertugas bagaimanapun selamat," katanya dihubungi.

Menurut beliau, suspek yang tinggal di Jalan Pantai Jerjak, Sungai Nibong ditahan sejurus kenderaannya berhenti.

Mengulas lanjut, Soffian berkata, ujian pernafasan mendapati suspek berada di bawah pengaruh alkohol dengan kandungan bahan berkenaan yang melepasi had dibenarkan.

Tindakan suspek turut menyebabkan kerosakan terhadap beberapa peralatan termasuk dua papan tanda sekatan jalan raya, lampu beacon dan kon keselamatan.

"Beberapa saksi bebas turut menyaksikan kejadian namun tiada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi berkenaan.

"Suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau tetapi memiliki 38 saman atas kesalahan memandu laju dan kesemuanya sudah dijelaskan.

"Suspek direman sehingga esok (11 Jun) dan kes disiasat mengikut Seksyen 45(A) (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Suspek juga disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan, Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Seksyen 26 (2) Akta Polis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 7:49 PM