GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nuraliawati Sabri


Melaka: Seorang lelaki dipercayai pengedar dadah ditahan bersama kira-kira satu kilogram barang terlarang itu dalam kejadian di Plaza Tol Ayer Keroh, di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, suspek berusia 25 tahun itu ditahan ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) Covid-19 di pintu masuk plaza tol berkenaan kira-kira jam 9 malam.

Beliau berkata, suspek ketika itu memandu seorang diri dan curiga dengannya pihak polis kemudian menjalankan pemeriksaan lanjut ke atasnya.

"Hasil pemeriksaan dilakukan polis kemudian menjumpai dadah disyaki syabu di dalam sebuah beg sandang.

"Kesemua dadah itu dianggarkan seberat satu kilogram dengan nilai kira- kira RM36,000 dan disyaki untuk pasaran tempatan," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, siasatan lanjut dari mana bekalan dadah itu diperoleh suspek masih dalam siasatan polis.

"Hasil ujian saringan awal air kencing dijalankan turut mendapati suspek positif dadah methamphetamine.

"Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 16 Jun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1) akta sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 6:11 PM