IZZATI Syafiqah pelajar SAM Daeratul Maarifil Wataniah 2 yang cemerlang dalam SPM dengan memperoleh 8A. FOTO Zuhainy Zulkiffli
IZZATI Syafiqah pelajar SAM Daeratul Maarifil Wataniah 2 yang cemerlang dalam SPM dengan memperoleh 8A. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Zuhainy Zulkiffli


Bukit Mertajam: Gembira mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun sedih kerana tidak dapat berkongsi detik itu dengan ibunya.

Begitulah perasaan Izzati Syafiqah Mohd Nazri, 18, pelajar Sekolah Menengah Agama Daeratul Maarifil Wataniah 2, Kampung Permatang Manggis, Kepala Batas di sini, yang cemerlang selepas memperoleh 8A.

Izzati berkata, ia berikutan kehilangan ibunya, Zawiyah Abd Razak, yang meninggal dunia akibat masalah jantung pada November tahun lalu.

Biarpun begitu, Izzati gembira kerana dapat menunaikan hasrat arwah ibunya yang mahu dia berjaya dalam pelajaran.

"Ibu selalu bercerita mengenai dirinya yang terpaksa mengambil ulangan peperiksaan SPM bagi mencapai cita-cita sebagai guru dan secara tidak langsung ia menjadi inspirasi.

"Saya menerima berita kehilangan ibu selepas selesai menjawab kertas percubaan SPM dan agak terganggu selepas itu kerana diselubungi perasaan sedih," katanya yang juga anak tunggal ketika ditemui hari ini.

Izzati ketika ditemui sedang menemani bapanya, Mohd Nazri Mat Isa @Ahmad, 47, mendapatkan rawatan di sebuah pusat dialisis di sini.

Katanya, dia mengetahui keputusan peperiksaannya menerusi panggilan video oleh guru besar bersama pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang jam 11 pagi.

"Tiada rahsia khusus kejayaan ini, hanya fokus dalam kelas dan sentiasa mendengar nasihat serta tunjuk ajar guru.

"Walaupun terpaksa membahagikan masa untuk uruskan ayah yang kini menjalani proses dialisis akibat kencing manis, saya tetap pastikan saya tidak ketinggalan dalam pelajaran," katanya.

Izzati berhasrat mahu melanjutkan pengajian ke peringkat lebih bagi mengikut jejak langkah ibunya untuk menjadi pendidik.

Sementara itu, Mohd Nazri berkata, dia bangga dan bersyukur dengan pencapaian anaknya biarpun terpaksa melalui dugaan berat.

"Saya beri peluang kepada dia memilih jurusan yang diminati dan jika rezeki memihak kepadanya, maka dia akan menjadi guru satu hari nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 6:06 PM