Syaherah Mustafa
am@hmetro.com.my


Kota Bharu: Kesibukan menghabiskan masa dengan menyertai pertandingan inovasi peringkat antarabangsa selama sembilan bulan ketika di tingkatan empat tidak menghalang Aina Nurain Mohd Zamanshahril, 18, mencapai keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang diperolehi hari ini.

Aina dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian meraih 8A berkata, dia terpaksa mengorbankan banyak masa belajar sepanjang Mac hingga November 2019 bagi menumpukan perhatian kepada pertandingan terbabit yang turut membawa nama negara di persada antarabangsa.

Dia yang memperoleh tempat kedua dalam pertandingan inovasi yang berlangsung di Rome, Itali itu berkata, sebaik pertandingan selesai dia mengambil inisiatif belajar sendiri selain mendapatkan bantuan guru untuk memahami mata pelajaran yang tertinggal.

"Sebaik berada di tingkatan lima, saya tidak lagi aktif dengan aktiviti kokurikulum memandangkan negara juga 'berperang' dengan pandemik Covid-19.

"Sepanjang tahun lalu, saya memberi fokus yang baik dan memastikan tidak tertinggal setiap kelas dalam talian.

AINA Nurain menunjukkan keputusan cemerlang 9A dalam SPM, yang diperolehinya selepas menyemak keputusan SPM secara atas talian hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
AINA Nurain menunjukkan keputusan cemerlang 9A dalam SPM, yang diperolehinya selepas menyemak keputusan SPM secara atas talian hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Saya juga menanamkan azam untuk mendapatkan keputusan cemerlang demi menggembirakan ibu, Azehan Jusoh@ Ab Talib, 41, selain merealisasikan impian arwah ayah, Mohd Zamanshahril Zaini, yang meninggal dunia sejak 2017 akibat demam panas.

"Sebenarnya aktif dalam aktiviti kokurikulum tidak menjadi penghalang untuk seseorang pelajar turut cemerlang dalam akademik, cuma perlu tahu cara membahagikan masa serta rajin membuat ulang kaji sendiri," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Huda, Kubang Kerian di sini, hari ini.

Aina mengakui meminati bidang kejuruteraan kimia dan berharap agar dapat melanjutkan pelajaran dalam jurusan berkenaan di Universiti Malaya (UM).

"Selain daripada usaha berterusan untuk 'mengejar' pembelajaran yang tertinggal, saya juga sentiasa mendekatkan diri kepada Allah dengan tidak meninggalkan solat lima waktu, membaca al-Quran dan berdoa agar sentiasa diterangkan hati untuk menerima ilmu dengan baik.

"Kejayaan hari ini juga dapat memulihkan kerisauan ibu selama ini yang melihat saya terlalu fokus kepada kokurikulum di sekolah, tambahan pula, aktiviti berkenaan turut memberi ilmu baru buat saya.

"Saya berharap keputusan hari ini akan menjadi pendorong untuk saya terus berusaha mengecapi kejayaan demi kejayaan pada masa akan datang sekali gus menjadi insan yang berguna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 6:02 PM