DR Mahathir.
DR Mahathir.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Sebuah majlis khas seperti Majlis Gerakan Negara (Mageran) antara cadangan diusulkan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sembah menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, cadangan terbabit diutarakan selepas melihat keberkesanan Mageran menyelesaikan konflik politik ketika era pentadbiran Allahyarham Tunku Abdul Rahman.

Beliau juga mencadangkan Mageran dianggotai pakar dalam pelbagai bidang dan tidak hanya tertakluk kepada ahli politik semata.

"Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) ada pelbagai idea (untuk atasi masalah Covid-19, ekonomi, sosial dan politik), namun jika tiada majlis seperti Mageran, ia menyukarkan kita untuk melaksanakannya kerana kita di luar kerajaan.

"Saya nyatakan kesediaan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk berkhidmat sekiranya majlis berkenaan ditubuhkan kerajaan," katanya dalam sidang media secara maya di pejabatnya, hari ini.

Terdahulu, Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara, petang tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penubuhan majlis itu perlu dicadangkan kerajaan sebelum dipersetujui semua pihak, dan ia dilihat kaedah yang boleh membantu negara keluar daripada kemelut Covid-19.

Dalam pada itu, apabila ditanya waktu yang sesuai bagi mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) Dr Mahathir berkata, pemilihan kerajaan baharu boleh dibuat hanya selepas Malaysia mencapai 80 peratus imunisasi kelompok.

Tegasnya, PRU tidak sesuai diadakan ketika ini kerana boleh menyebabkan kes jangkitan Covid-19 meningkat seperti yang berlaku ketika Pilihan Raya Negeri Sabah, tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 5:51 PM