Nor Amalina Alias


Bachok: Tiga lelaki tidak sempat menikmati hasil daripada motosikal curi selepas dua daripada mereka ditahan polis selepas empat jam melakukan jenayah berkenaan.

Mereka hanya sempat menanggalkan nombor pendaftaran kenderaan tiga motosikal yang dicuri daripada seorang pemilik di Kampung Bukit Kechik, Gunong pada 1.45 tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Bachok Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, suspek berusia 21 dan 26 tahun itu ditahan di dua lokasi berbeza di Kampung Bukit Temalong dan Kampung Telaga Ara pada 6 hingga 6.30 petang hari yang sama.

Menurutnya, pemilik motosikal berkenaan yang berusia 39 tahun sebelum itu membuat laporan di Balai Polis Gunong selepas menyedari pintu stor yang menempatkan dua motosikal jenis Yamaha 15ZR dan sebuah Honda C100 dipecah masuk orang yang tidak dikenali.

"Pengadu mendapati ada kesan umpilan pada mangga kunci," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok di sini, hari ini.

Mohamad Ismail berkata, seorang lagi rakan subahat mereka yang dikenali yang sebagai Lan Kampung Kuau, berusia lingkungan 30-an masih bebas namun dipercayai masih berada di Bachok.

TIGA lelaki tidak sempat menikmati hasil daripada motosikal curi selepas dua daripada mereka ditahan polis selepas empat jam melakukan jenayah berkenaan. FOTO Nor Amalina Alias
TIGA lelaki tidak sempat menikmati hasil daripada motosikal curi selepas dua daripada mereka ditahan polis selepas empat jam melakukan jenayah berkenaan. FOTO Nor Amalina Alias

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati suspek yang berusia 26 tahun mempunyai 17 rekod jenayah lampau.

Katanya, seorang lagi suspek mempunyai rekod dua rekod kesalahan dadah ujian saringan awal air kencing terhadap keduanya turut positif dadah.

"Kami percaya dengan penahanan suspek ini berjaya menyelesaikan beberapa kes kecurian motosikal sekitar Gunong dan sekitar daerah ini.

"Setakat ini jenayah kecurian motosikal dilakukan tiga suspek ini bukan sindiket dan mereka mencuri motosikal untuk mendapatkan alat ganti untuk dijual.

"Modus operandi mereka adalah dengan mencari stor motosikal penduduk dan menyasarkan motosikal Y15 yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan peminat motosikal untuk mencuri dan kemudian mereka meleraikan badan motosikal ini dan menjualnya secara alat ganti," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 380 KK dan kedua suspek direman selama empat hari bermula hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 5:38 PM