SEBAHAGIAN barangan yang dirampas dalam serbuan membabitkan kecurian arus elektrik untuk mrnjalankan perlombongan Bitcoin di dua lokasi berasingan di Baling. FOTO Ihsan PDRM
SEBAHAGIAN barangan yang dirampas dalam serbuan membabitkan kecurian arus elektrik untuk mrnjalankan perlombongan Bitcoin di dua lokasi berasingan di Baling. FOTO Ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Polis menahan tiga lelaki yang disyaki terbabit mencuri arus elektrik dan aktiviti perlombongan mata wang digital (Bitcoin) di sekitar Baling pada Ahad dan Isnin lalu.

Ketua Polis Kedah Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, suspek ditahan pada dua serbuan berasingan dijalankan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling serta Bahagian Penguatkuasaan, Tenaga Nasional Berhad (TNB) Zon Utara.

"Serbuan pertama dilakukan jam 6 petang pada 6 Jun lalu di sebuah premis perniagaan di Kuala Ketil, Baling.

"Pada serbuan itu, kami menahan seorang lelaki berusia 39 tahun. Kami turut merampas 88 unit mesin perlombongan Bitcoin," katanya pada kenyataan hari ini.

Kamarul Zaman berkata, pada serbuan kedua jam 11 pagi Isnin lalu, pihaknya menahan dua lelaki berusia 56 dan 63 tahun di sebuah premis perniagaan, juga di Kuala Ketil.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas 138 unit mesin perlombongan.

Ketiga-tiga suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kamarul Zaman berkata, sehingga kini, pihaknya sudah menahan 19 individu serta merampas 1,598 mesin perlombongan hasil 12 serbuan.

Beliau berkata, kesemua serbuan membabitkan premis perniagaan dan tangkapan terdiri daripada pemilik, penyewa serta juruteknik aktiviti jenayah itu.

"Implikasi daripada aktiviti haram perlombongan mata wang digital ini menyebabkan kerugian besar kepada TNB selain menjejaskan bekalan tenaga elektrik kepada komuniti setempat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 5:27 PM