Rohaimi (kanan) memberi penerangan kepada orang ramai berkenaan pematuhan SOP. FOTO GHAZALI KORI
Rohaimi (kanan) memberi penerangan kepada orang ramai berkenaan pematuhan SOP. FOTO GHAZALI KORI
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Berang: Tahap pematuhan penduduk di Hulu Terengganu mencapai tahap 97 peratus walaupun daerah berkenaan berada di zon merah berikutan kluster raya yang tercetus.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata, situasi di daerah itu juga terkawal dan pihaknya turut melakukan penguatkuasaan serta sekatan jalan raya dalam usaha mengekang penularan wabak berkenaan.

Menurutnya, tahap pematuhan penduduk di daerah berkenaan sangat baik dan wajar dipuji apabila tiada kompaun dikeluarkan di daerah itu dalam tempoh seminggu ini berbanding kawasan lain.

"Sebagai contoh, sebanyak 12 kompaun dikeluarkan pada Selasa di seluruh Terengganu namun tiada kompaun yang dikeluarkan di daerah Hulu Terengganu," katanya ketika meninjau sekatan jalan raya di Kampung Kejir di sini, semalam.

Daerah Hulu Terengganu yang pernah menjadi lokaliti yang mencatatkan sifar kes positif Covid-19 sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bertukar kepada zon merah berikutan aktiviti ziarah dan merentas negeri pada Aidilfitri yang menyaksikan tercetusnya kluster raya di daerah berkenaan.

Dalam pada itu, Rohaimi berkata, pihaknya turut mempertingkatkan pemantauan dan rondaan di laluan alternatif dan tikus bagi memastikan tiada lagi kejadian khianat berlaku di negeri ini.

Beliau berkata, setakat ini, hanya dua perbuatan khianat iaitu merosakkan penghadang jalan yang dipasang dikesan masing-masing di Besut dan Kuala Terengganu.

"Pada peringkat awal, mungkin kerana mereka tidak biasa dengan keadaan yang dikawal ketat tetapi apabila mereka sudah biasa dan faham tujuan kita, Alhamdulillah tiada lagi perbuatan khianat yang dilaporkan.

"Kita yakin masyarakat sudah faham dengan kawalan dan sekatan yang dilakukan pihak berkuasa dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 5:05 PM