NURUL Firzannah bersama ibunya menunjukkan keputusan SPM diperolehi di Kampung Tanjung Medan, Parit. FOTO Noor Hidayah Tanzizi.
NURUL Firzannah bersama ibunya menunjukkan keputusan SPM diperolehi di Kampung Tanjung Medan, Parit. FOTO Noor Hidayah Tanzizi.
Noor Hidayah Tanzizi


Parit: Walaupun terpaksa mengikuti kelas Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) menggunakan jaringan tanpa wayar (WiFi) di rumah nenek saudara, ia tidak menghalang Nurul Firzannah Mohd Azman, 18, memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pelajar Sekolah Menengah Agama Maahad Al Aziz, di sini, yang juga anak kepada pasangan tukang jahit dan pekebun sawit itu memperoleh 8A dan 1A+ dalam keputusan SPM yang diumumkan hari ini.

Nurul Firzannah berkata, tahap capaian Internet di rumahnya di Kampung Tanjung Medan, di sini kurang baik yang memberi masalah kepadanya untuk mengikuti kelas secara dalam talian.

"Akibatnya saya pernah terkeluar dari kelas, malah untuk memuat naik sesuatu atau mencari bahan juga agak lambat.

"Sebab itu kalau ada kelas saya akan ke rumah nenek saudara di sebelah kerana rumahnya ada WiFi bolehlah tumpang sekejap untuk belajar," katanya ketika ditemui selepas menerima sagu hati daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Belanja, Khairudin Abu Hanipah, hari ini.

Menurutnya, dia pernah berasa tertekan apabila sukar mendapat capaian Internet tetapi tetap menguatkan semangat demi ibu, Faridah Shaari, 54, dan bapa, Mohd Azman Zainuddin, 56.

"Apabila tertinggal kelas cikgu akan bagi pautan video untuk belajar. Saya juga selalu bertanya pada cikgu atau membuat panggilan video dengan kawan untuk menanyakan pelajaran yang tidak difahami.

"Saya lebih suka belajar secara bersemuka sebab lebih mudah faham dan boleh tanya terus pada cikgu tetapi kelebihan belajar secara dalam talian juga lebih banyak maklumat boleh dicari. Apa pun alasan bukan penghalang kita belajar," katanya yang mengamalkan solat Tahajud dan ulang kaji pelajaran selepas itu.

Seorang lagi pelajar cemerlang SPM, Aiman Aqil Abd Razak, 18, berkata, dia bersyukur mendapat keputusan 4A+, 3A dan 2A- dan mendedikasikan kejayaan itu kepada ibu bapa, Abd Razak Ahsan, 50, dan Hanita Hashim, 51.

Dia yang bersekolah di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit berkata, dia mengambil masa tiga bulan untuk menyesuaikan diri belajar secara PdPR kerana lebih suka belajar bersemuka dan berkumpulan bersama rakan.

"Pada mulanya memang agak sukar tetapi saya jadikan ia sebagai cabaran dalam normal baharu dan tidak berputus asa serta mendisiplinkan diri untuk mengikuti kelas secara dalam talian.

"Biasanya sejam sebelum kelas saya akan buat persediaan dan selepas itu akan berbincang jika ada yang tidak faham dengan rakan di kumpulan WhatsApp," katanya meminati bidang kejuruteraan dan mahu melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Dia yang tinggal di Kampung Sadang, di sini, berkata, resipi kejayaannya adalah tidak mudah berputus asa dan selalu berdoa selain menjaga hubungan dengan Allah SWT, ibu bapa, guru dan rakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 2:42 PM