SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah.
SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan penyediaan dana khas berjumlah RM14.6 juta khusus bagi membiayai keperluan rakyat yang terjejas selain menjaga kebajikan petugas keselamatan serta petugas barisan hadapan dalam menangani penularan Covid-19.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata, Sultan Nazri menitahkan MAIPk menyediakan dana itu bagi tujuan bantuan kecemasan kelangsungan hidup bernilai RM10.9 juta serta tajaan peralatan kesihatan dan perubatan yang diperlukan segera oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perak (RM600,000).

Beliau berkata, bantuan turut membabitkan sumbangan untuk petugas barisan hadapan (RM400,000); bantuan pakej tablet dan data Internet untuk menjalankan aktiviti perniagaan secara dalam talian dan pelajar (RM1.5 juta); bantuan kebajikan pelajar luar negara (RM200,000); serta sumbangan untuk pusat jagaan anak yatim; rumah orang tua, dan warga emas Islam (RM400,000).

Turut dirangkumkan dalam dana khas terbabit adalah tajaan bekalan makanan institusi pendidikan; sumbangan kepada pusat gelandangan sementara di bawah kendalian kerajaan negeri; dan program vaksinasi Covid-19 MAIPk yang mensasarkan kumpulan yang dikenal pasti perlu segera menjalani vaksinasi yang masing-masing menerima RM200,000.

"Sultan Nazrin memahami kesan langsung yang menjejas hidup rakyat terutama dalam kalangan asnaf fakir miskin dan mereka yang tidak berpendapatan tetap susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

"Baginda turut memahami tugas berat yang sedang dihadapi oleh petugas barisan hadapan yang memerlukan peralatan rawatan dan perubatan tertentu untuk menangani wabak, selain peka terhadap kebajikan petugas pasukan keselamatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagi bantuan kecemasan kelangsungan hidup, ia disasarkan kepada ketua isi rumah dan penerima bantuan kewangan bulanan MAIPK yang terjejas sumber pendapatan kerana diberhentikan kerja, tidak dapat menjalankan perniagaan, diberi cuti tanpa gaji atau sebab lain yang munasabah.

Sementara, bantuan pakej tablet dan data Internet disasarkan kepada usahawan dalam kalangan asnaf di samping kepada pelajar Tingkatan 5 daripada kalangan ketua isi rumah fakir miskin.

"Untuk tajaan bekalan makanan institusi pendidikan pula, ia dikhususkan kepada penuntut serta pelajar sekolah tahfiz di Perak yang perlu menginap di tempat pengajian semasa PKP sedang berkuat kuasa," katanya.

Katanya, MAIPk turut memberikan pengecualian bayaran sewa dan pajakan hartanah wakaf berjumlah RM98,000 dan hartanah Baitulmal berjumlah RM50,000 di premis dan tapak perniagaan MAIPK bagi bulan Jun 2021.

"MAIPk akan mengkaji tempoh pengecualian bayaran sewa dan pajakan, tertakluk sama ada tempoh PKP 3.0 akan dilanjutkan (atau sebaliknya)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 12:07 PM