Merekod butiran diri atau daftar masuk premis menerusi MySejahtera antara SOP ditetapkan MKN. FOTO Asyraf Hamzah
Merekod butiran diri atau daftar masuk premis menerusi MySejahtera antara SOP ditetapkan MKN. FOTO Asyraf Hamzah
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Seramai 885 individu ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 semalam dengan 852 daripadanya dikompaun dan 33 lagi direman.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara kesalahan direkodkan adalah gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis (178), tiada penjarakan fizikal (145) dan tidak memakai pelitup muka (144).

Menurutnya, kesalahan lain yang turut dikesan adalah tidak mematuhi arahan kawalan pergerakan (101), membawa penumpang berlebihan (73), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (79) dan lain-lain kesalahan (165).

"Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan 92,202 pemeriksaan semalam.

"Ia membabitkan 4,145 pasukan pematuhan yang terdiri daripada 22,804 anggota bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP sepanjang PKP," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mengenai operasi sanitasi awam, beliau berkata, sebanyak 86 operasi sanitasi meliputi 45 zon merah dan empat zon kuning dilaksanakan di seluruh negara semalam.

Secara kumulatif, beliau berkata, sebanyak 26,914 operasi sanitasi merangkumi 156 zon sudah dilakukan di seluruh negara sejak 30 Mac tahun lalu.

"Operasi sanitasi itu membabitkan pusat perniagaan, kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), tempat awam, pasar raya dan bangunan kerajaan," katanya.

Berkenaan kuarantin wajib, katanya, seramai 455 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa semalam dan semuanya dikuarantin di stesen kuarantin di seluruh negara.

Menurutnya, secara kumulatif sejak 24 Julai tahun lalu terdapat seramai 222,831 individu sudah pulang ke tanah air dan kesemua ditempatkan di 74 hotel dan 11 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di seluruh negara.

"Daripada jumlah itu, seramai 9,104 individu dikuarantin dan 211,161 orang dibenarkan pulang manakala 2,566 lagi dibawa ke hospital.

"Sementara itu bagi pemantauan barang keperluan asas oleh anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di peringkat peruncit dan pemborong mendapati bekalan makanan adalah stabil dan mencukupi," katanya.

Menurutnya, seramai 143 warga asing menjalani ujian saringan dan 10 daripada dilaporkan positif Covid-19.

Katanya, secara kumulatifnya Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 698,634 pekerja warga asing sudah menjalani ujian saringan Covid-19 yang membabitkan 36,194 majikan.

"Daripada jumlah itu, seramai 10,349 orang disahkan positif Covid-19. Sehingga kini, sebanyak 1,544 buah klinik terbabit dengan program saringan ini.

"Seperti yang sudah diumumkan, ujian saringan Covid-19 adalah diwajibkan kepada semua pekerja warga asing mulai 1 Februari lalu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Jun 2021 @ 8:06 PM