GAMBAR hiasan. FOTO Rohanis Shukri
GAMBAR hiasan. FOTO Rohanis Shukri
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Felda Tersang 1, 2 dan 3 di Raub, Pahang dua minggu lagi bermula 11 hingga 24 Jun ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata PKPD di lokaliti itu sepatutnya tamat esok.

Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan 525 ujian saringan dan 19 daripadanya dilaporkan positif Covid-19.

"Namun, KKM mendapati masih terdapat penularan kes dalam kalangan penduduk, selain kes baru direkodkan dan pada masa sama, terdapat 217 lagi ujian saringan sedang menunggu keputusan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di Felda berkenaan.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan penamatan PKPD di beberapa lokaliti di negara ini berkuat kuasa esok seperti dijadualkan.

Penamatan PKPD itu, katanya, membabitkan Pangsapuri Permai dan Pangsapuri Sri Penara (Blok C dan D), Kuala Lumpur; Kampung Pirasan Ulu, Kota Belud, Sabah; Taman Sawit Balung, Tawau, Sabah; Mukim Perak dan Mukim Bangau di Temerloh, Pahang dan Taman Dato' Tengku Paris, Raub, Pahang.

"Bagi PKPD Pekan Kemayan, Bera, Pahang pula akan tamat 10 Jun 2021 iaitu sehari lebih awal berbanding dijadualkan tamat pada 11 Jun 2021," katanya.

Bagi semua lokaliti yang dibenarkan tamat PKPD itu, katanya, KKM mengesahkan berlaku penurunan kes dan kluster adalah terkawal manakala semua kes positif sudah menerima rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Jun 2021 @ 7:18 PM