FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Kerajaan negeri menaja tiga bas untuk kegunaan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) bagi membawa pesakit positif Covid-19 ke pusat kuarantin.

Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Zairil Khir Johari berkata, tajaan bas itu membabitkan peruntukan RM72,000 sebulan, yang mana sudah diluluskan menerusi Perkhidmatan CAT (Congestion Alleviation Transport) dalam Belanjawan Tahun 2021.

"Bas ini akan menghantar pesakit ke pusat kuarantin yang ditetapkan khususnya di Pusat Kecemerlangan MARA (MEC), Jawi dan Pusat Latihan Zakat (PULAZA), Balik Pulau di sini.

"Tiga bas itu diambil daripada pengurangan bas CAT sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0," katanya pada kenyataan hari ini.

Zairil berkata, tiga bas itu akan dioperasikan oleh Rapid Penang sepertimana dalam perjanjian CAT dengan kerajaan negeri.

Pemandu perkhidmatan itu sudah diberi latihan khas, sesi orientasi serta vaksinasi oleh JKNPP semalam.

Setiap bas akan disanitasi di pusat kuarantin selepas pesakit positif Covid-19 diturunkan di pusat kuarantin masing-masing.

"Pakaian perlindungan diri (PPE) dan semua peralatan sokongan akan disediakan JKNPP kepada Rapid Penang bagi menjamin keselamatan pemandu bas itu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Jun 2021 @ 1:44 PM