GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izwan Abdullah

[email protected].

Kota Kinabalu: Aktiviti sosial di pusat hiburan mencetuskan satu kluster baharu Covid-19 berkaitan komuniti yang menjangkiti penduduk di enam lokaliti di Kuala Penyu yang dilaporkan di negeri ini, semalam.

Kluster Kampung Bundu itu, setakat ini, dikesan menjangkiti penduduk Kampung Bundu Batu Empat, Kampung Bundu Batu Tiga, Kampung Tenambak, Kampung Sungai Labuan, Pekan Kuala Penyu dan Kampung Kitang.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, sehingga kini, kluster itu merekodkan seramai 39 kes positif Covid-19, termasuk kes indeks iaitu seorang lelaki berumur 45 tahun.

"Kes indeks dikesan positif melalui saringan bergejala dan kontak kepada anaknya yang turut menjalani saringan bergejala. Bagaimanapun, kes indeks bergejala lebih awal berbanding anaknya.

"Ujian saringan RTK Antigen kes indeks disahkan positif Covid-19 pada 24 Mei sebelum disusuli saringan RT PCR yang turut menunjukkan keputusan positif pada 26 Mei lalu.

"Pengesanan kontak mendapati 38 kes lagi positif Covid-19 dalam kalangan rakan sosial dan ahli keluarga. Setakat ini, jumlah kumulatif ialah 39 kes termasuk dua kes baharu.

"Berdasarkan maklumat awal, penularan kluster ini disumbang oleh aktiviti sosial di pusat hiburan yang kemudian menjangkiti ahli keluarga. Aktiviti kawalan dan mengenal pasti punca jangkitan masih dijalankan," katanya dalam kenyataan media, malam tadi.

Sementara itu, seorang warga Filipina berumur 44 tahun mencetuskan satu lagi kluster baharu berkaitan komuniti semalam, dikenali Kluster Tanjung Aru Baru yang dilaporkan di Kota Kinabalu.

Masidi berkata, individu terbabit dikesan positif Covid-19 melalui saringan bergejala di Klinik Kesihatan Putatan pada 25 Mei lalu sebelum dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) untuk rawatan lanjut.

"Sehingga kini sebanyak 213 sampel diambil dalam kluster ini dengan 30 kes dikesan positif termasuk 20 kes baharu pada hari ini (semalam), manakala 83 sampel lagi didapati negatif dan 100 lagi sedang menunggu keputusan.

"Pertambahan kes dalam kluster ini adalah hasil daripada saringan kontak rapat dan saringan bersasar setelah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilaksanakan mulai 4 Jun lalu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Jun 2021 @ 9:06 AM