GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Kadar penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi pesakit Covid-19 meningkat daripada 96 peratus pada 24 Mei hingga 104 peratus pada 6 Jun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kadar penggunaan katil ICU melebihi 100 peratus ini amat membimbangkan kerana tidak semua pesakit yang memerlukan rawatan kritikal dapat ditempatkan di ICU.

"Bagaimanapun kadar penggunaan katil bagi pesakit Covid-19 bukan ICU di hospital menunjukkan sedikit penurunan dalam tempoh dua minggu, iaitu daripada 99 peratus kepada 89 peratus.

"Begitu juga dengan kadar penggunaan katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) adalah sebanyak 54 peratus," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, statistik juga menunjukkan penurunan jumlah kes positif Covid-19 pada minggu epidemiologi (ME) ke-22 iaitu sebanyak 1,379 kes (penurunan sebanyak 2.6 peratus) berbanding ME ke-21.

Beliau berkata, situasi itu adalah susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 oleh kerajaan bermula 12 Mei lalu, namun dalam tempoh sama jumlah kes aktif didapati terus meningkat berikutan peningkatan kes mendadak pada ME ke-20 dan ME ke-21.

"Pada awal ME ke-21 (23 Mei), jumlah kes aktif adalah sebanyak 57,022 kes dan pada awal ME ke-22 (30 Mei), ia meningkat kepada 78,017 kes peningkatan sebanyak 20,995 kes atau 37 peratus.

"Meskipun terdapat penurunan 2.6 peratus kes mingguan, namun jumlah kes aktif masih terus meningkat.

"Pada 8 Jun (hari ini) jumlah kes aktif Covid-19 yang masih dalam rawatan dan pemerhatian adalah sebanyak 82,797 kes," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 7:54 PM