ASISTEN Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif menyertai Ops bersepadu polis bersama KKM, KPDNHEP dan MDBG terhadap tiga kilang di sekitar daerah Batu Gajah. FOTO Balqis Jazimah Zahari
ASISTEN Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif menyertai Ops bersepadu polis bersama KKM, KPDNHEP dan MDBG terhadap tiga kilang di sekitar daerah Batu Gajah. FOTO Balqis Jazimah Zahari
Balqis Jazimah Zahari


Batu Gajah: Sebuah kilang plastik di Tronoh dekat sini, dikompaun RM10,000 hari ini kerana gagal mewujudkan Pasukan Pemantauan Covid-19 (ERT).

Ketua Polis Daerah Batu Gajah Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, kesalahan itu dikesan menerusi operasi bersepadu dijalankan pihaknya bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) terhadap tiga kilang di sekitar daerah itu.

"Keperluan mewujudkan ERT antara prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi pemain industri pembuatan dan perkilangan sepanjang beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

"Pelaksanaan ERT selaras dengan peraturan-peraturan di bawah Seksyen 342 Kementerian Kesihatan Malaysia. Untuk PKP ini, syarikat perlu ada pasukan bertindak mereka sendiri yang dilantik oleh majikan bagi penyediaan dan pelaksanaan tatacara mengurus kes kecemasan sekiranya berlaku jangkitan dalam kawasan kilang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan pemeriksaan dan pemantauan terhadap pematuhan SOP PKP di kawasan Perindustrian Bemban dekat sini.

Mohamad Roy Suhaimi berkata, justeru, kegagalan melaksanakan perkara itu boleh dikompaun.

Menurutnya, dalam operasi sama, kompaun RM10,000 turut dikenakan terhadap sebuah kilang mesin di Tronoh kerana tidak menyediakan buku data rekod.

Pada masa sama, seorang pekerja kilang kondom di Bemban dikompaun RM2,000 atas kesalahan tidak melakukan imbasan aplikasi MySejahtera.

Bagaimanapun, beliau berkata, setakat ini pihaknya berpuas hati dengan tahap pematuhan SOP bagi semua premis sektor pembuatan dan perkilangan di kawasan itu.

Katanya, boleh dikatakan 90 peratus pematuhan dibuat oleh pihak majikan dan mereka beroperasi dengan kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

"Kehadiran pekerja di kilang juga mematuhi kehendak SOP bagi bahagian operasi dan pengurusan iaitu di bawah kadar 60 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerja," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegur sikap segelintir orang awam yang masih melakukan pelanggaran SOP terutama tidak memakai pelitup muka di tempat awam dan tidak melakukan imbasan aplikasi MySejahtera ketika memasuki premis.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 7:32 PM