Vaksin Sinovac FOTO MIKAIL ONG
Vaksin Sinovac FOTO MIKAIL ONG
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Sebanyak 3,638,812 juta dos vaksin Covid-19 sudah diberikan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) setakat ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menerusi hantaran di Twitter berkata, daripada jumlah itu sebanyak 64,436 dos diberikan semalam.

Beliau berkata, seramai 1,135,157 orang sudah melengkapkan dos kedua vaksin, manakala 2,503,655 orang menerima dos pertama.

Menurutnya, lima negeri yang melengkapkan kedua-dua dos tertinggi ialah Selangor dengan 145,973 dos diikuti Sarawak (119,459); Perak (105,546); Kuala Lumpur (104,742); dan Johor (98,996).

Setakat semalam, 52.5 peratus atau 12,743,918 individu mendaftar untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan Selangor mencatatkan jumlah pendaftaran tertinggi iaitu 3,363,091 orang.

PICK kini sedang giat dijalankan di seluruh negara bagi membolehkan Malaysia mencapai imuniti kelompok lebih cepat.

Beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega juga sudah beroperasi selain kaedah pandu lalu dan penggunaan fasiliti awam dilaksanakan kerajaan bagi mempercepatkan proses suntikan vaksin.

Mengikut perancangan, fasa kedua program yang bermula April hingga Ogos ini akan membabitkan pemvaksinan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan Orang Kurang Upaya.

Fasa ketiga bermula bulan lalu hingga Februari 2022 pula membabitkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara, dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih.

Pada fasa pertama program yang berlangsung dari Februari hingga April lalu, kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan termasuk warga kesihatan menerima vaksin itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 5:27 PM