AHMAD menyampaikan sumbangan RM500,000 kepada Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II). FOTO Ihsan Pejabat MB
AHMAD menyampaikan sumbangan RM500,000 kepada Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II). FOTO Ihsan Pejabat MB
nor FazlinaAbdul Rahim


Kota Bharu: Kerajaan negeri Kelantan menyumbangkan RM500,000 kepada Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), khususnya bagi menaik taraf sistem 'electrophysiology study' di Unit Kardiologi hospital berkenaan.

Sumbangan berkenaan disampaikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin di Pejabatnya di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah HRPZ II, Datuk Dr Selasawati Ghazali.

Ahmad Yakob berkata, dengan sistem berkenaan, rawatan jantung khasnya perkhidmatan 'electrophysiology' dapat diberikan dengan cepat tanpa perlu dirujuk ke pusat rawatan di luar Kelantan.

"Menerusi penaiktarafan sistem berkenaan, diharap akan dapat mengurangkan kadar mortaliti dan morbiditi pesakit jantung.

"Pada masa sama, kerajaan negeri hari ini menyumbangkan enam unit penghawa dingin kepada Pejabat Kesihatan Negeri untuk kegunaan pasukan bergerak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) peringkat Kelantan.

"Program suntikan vaksin secara mobile itu akan bergerak ke kampung dan kawasan tumpuan orang ramai," katanya.

Beliau berkata, sumbangan berkenaan diharap dapat membantu menambahkan keselesaan petugas barisan hadapan dalam usaha menyegerakan suntikan vaksin dalam kalangan rakyat Kelantan.

"Kerajaan negeri sentiasa berusaha memastikan perkhidmatan kesihatan di negeri Kelantan dititik beratkan agar ia memberikan manfaat yang besar kepada rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 1:25 PM