Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Seorang buruh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, terhadap pertuduhan membuat pemerasan kepada wanita warga emas dengan mendatangkan ketakutan, April lalu.

Tertuduh, Muhamad Fikrianisfatullah Mohd Azmi, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan pemerasan terhadap seorang wanita berusia 63 tahun dengan mendatangkan ketakutan bahawa dia akan dicederakan serta merta yang mendorong wanita itu menyerahkan wang berjumlah RM2.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Kubang Siput, Pasir Tumboh, jam lebih kurang 4.35 petang, pada 5 April 2021.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry.

Mahkamah menetapkan 6 Julai ini untuk tarikh jatuh hukum.

MUHAMAD Fikrianisfatullah Mohd Azmi (baju merah). FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MUHAMAD Fikrianisfatullah Mohd Azmi (baju merah). FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Pada prosiding yang berasingan di Mahkamah Majistret, Muhamad Fikrianisfatullah mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mencuri sebuah motosikal jenis Honda EX5 di hadapan sebuah rumah Kampung Pulau Gadong, Jalan Kuala Besar, jam 3 petang, pada 17 April 2021.

Pengakuan itu dilakukan di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun dan juga boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Edabayu Subhan dan tertuduh diwakili peguam bela dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ariyani Mohd Amin.

Ariyani memohon mahkamah membenarkan jaminan RM2,000 memandangkan tertuduh bekerja sebagai buruh dengan gaji RM50 sehari.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 1:18 PM