KEBAKARAN di bilik penyimpanan fail di tingkat tiga bangunan IPK Pahang, semalam. FOTO ihsan Polis
KEBAKARAN di bilik penyimpanan fail di tingkat tiga bangunan IPK Pahang, semalam. FOTO ihsan Polis
Asrol Awang


Kuantan: Polis Pahang menolak spekulasi berlaku unsur sabotaj dalam kebakaran bilik simpanan fail Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini, semalam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, tiada fail penting dan bahan bukti yang terbabit dalam kebakaran itu.

"Kebanyakan fail yang disimpan di bilik itu adalah fail bagi kes yang sudah selesai," katanya.

Dalam kejadian 4.30 petang semalam, bilik penyimpanan fail di tingkat tiga bangunan IPK Pahang terbakar dan dipadamkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kira-kira dua jam kemudian.

Abdul Jalil berkata, pihaknya akan memaklumkan hasil siasatan kebakaran terbabit termasuk daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Susulan kejadian ini, Polis Pahang sudah menubuhkan pasukan siasatan dalaman dari Bahagian JSJ dan Pembangunan Logistik IPK Pahang.

"Penubuhan pasukan ini untuk menjalankan siasatan yang lebih terperinci kerana siasatan awal oleh JBPM mengesyaki punca kebakaran daripada litar pintas," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, masyarakat dinasihat tidak membuat sebarang andaian atau persepsi negatif berhubung kejadian terbabit.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 5:17 PM