GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Polis akan merujuk Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Manjung untuk membatalkan kompaun yang dikeluarkan kepada 29 pekerja syarikat minyak dan gas (O&G) di kawasan perindustrian Kampung Acheh, di sini.

Tindakan sama juga akan diambil untuk dua pekerja lain di sebuah kilang atas kesalahan sama.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kompaun dikeluarkan atas kesalahan gagal mengemaskini status kesihatan harian di aplikasi MySejahtera pada pemantauan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, Sabtu lalu.

Menurutnya, semakan dengan Unit Inspektorat dan Perundangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati berlaku kekeliruan terhadap kesalahan berkenaan.

"Pihak KKM mengesahkan bahawa pemilik aplikasi MySejahtera perlu mengemaskini status kesihatan apabila terdapat gejala, mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara, mempunyai hubungan atau menjadi kontak rapat serta disahkan positif Covid-19 saja.

"Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Manjung (Asisten Komisioner Nor Omar Sappi) akan merujuk PKD Manjung untuk memaklumkan kepada pihak Jabatan Peguam Negara bagi tujuan pembatalan kompaun itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, seramai 31 pekerja syarikat O&G dan kilang ayam dikompaun kerana tidak mengemaskini status kesihatan mereka di aplikasi MySejahtera ketika memasuki tempat kerja.

Operasi berkenaan turut disertai penguat kuasa KKM, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Majlis Perbandaran Manjung (MPM).

Beliau berkata, masyarakat dinasihatkan supaya tidak bimbang terhadap tahap penguatkuasaan dilakukan oleh polis dalam melaksanakan tanggungjawab bagi memutuskan rantaian Covid-19 sekali gus memastikan keselamatan negara sentiasa terpelihara.

Katanya, setiap tindakan yang diambil oleh polis akan dirujuk kembali kepada peraturan yang dikuatkuasakan dari semasa ke semasa.

"Polis Perak ingin menasihatkan orang ramai sentiasa bersabar dan memberi kerjasama penuh kepada semua agensi yang terbabit sepanjang tempoh pelaksanaan PKP ini.

"Polis juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada orang ramai yang melanggar undang-undang dan SOP yang sedang berkuat kuasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 3:35 PM