Oleh Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: "Seloknya-eloknya yang peringkat warga emas tu kenalah cucuk untuk keselamatan anak cucu di rumah," kata Normah Mohd Zahid, 68, yang menjadi salah seorang daripada 50 warga emas yang menerima suntikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Perubatan Ar-Ridzuan di sini hari ini.

Normah berkata, apabila mendapat tarikh temujanji, dia pada awalnya berasa risau untuk menerima suntikan berikutan mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi.

"Semalam masa fikir nak datang cucuk hari ini memang rasa tertekan dan risau sebab mak cik ada penyakit tetapi lama-lama sudah 'ok'.

"Proses cucuk memang cepat dan tanpa sedar ia sudah selesai. Alhamdulillah mak cik tidak berasa pening dan setakat ini badanpun rasa baik-baik saja," katanya ketika ditemui pemberita sebaik selepas menerima suntikan di pusat perubatan berkenaan.

Katanya, demi untuk keselamatan diri dan tanggungjawab menjaga keselamatan orang sekeliling terutama keluarga tersayang, dirinya kuatkan hati menerima suntikan.

"Walaupun nak taknak kita terpaksa cucuk untuk keselamatan sebab nanti nak keluar rumah pun susah.

"Jadi, pada sudah berumur seelok-elonya kenalah pergi cucuk untuk keselamatan," katanya menerima rawatan untuk penyakit darah tinggi dan kencing manisnya di pusat rawatan itu sebulan sekali.

Sementara itu, Pengurus Besar Kumpulan Perubatan Ar Ridzuan, Khairul Salleh Abdul Rani berkata, pusat perubatan berkenaan menjadi antara PPV swasta terawal yang dibuka di negeri ini.

Normah Mohd Zahid, 68,  menjadi salah warga emas yang menerima suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Perubatan Ar-Ridzuan. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
Normah Mohd Zahid, 68, menjadi salah warga emas yang menerima suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Perubatan Ar-Ridzuan. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI

Menurutnya, sebelum ini juga Pusat Perubatan Ar-Ridzuan menjadi pusat dialisis swasta pertama di negeri Perak yang terpilih bagi suntikan vaksin Covid-19.

"Pada 3 Mei lalu kita sudah memberi suntikan kepada 67 pesakit dialisis di bawah Program Outreaches Vaksinasi Pusat Hemodialisis Swasta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Pada hari ini, pusat rawatan ini mula beroperasi sebagai salah satu Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK)," katanya.

Katanya, pihaknya mensasarkan seramai 50 orang sehari bagi suntikan fasa kedua warga emas untuk hadir menerima suntikan vaksin di pusat perubatan itu.

"Suntikan vaksinasi hari ini adalah melalui pendaftaran MySejahtera yang disalurkan kerajaan secara percuma melalui Protect Health kepada Pusat Perubatan Ar Ridzuan.

"Selain itu, kita juga bersedia bekerjasama dalam program vaksinasi Outreach bersama kerajaan negeri pada masa hadapan dalam melancarkan program vaksinasi ini," katanya.

Katanya, PPV di pusat perubatan itu akan bermula jam 9 pagi hingga 4 petang dan akan tetap beroperasi pada cuti umum kecuali pada hari perayaan utama negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 3:05 PM