Foto hiasan
Foto hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di beberapa kawasan di Pahang dan Sabah bermula 8 Jun hingga 21 Jun ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di Pahang membabitkan tiga lokaliti di Jaya Gading, Kuantan iaitu Kampung Jaya Gading, sebahagian Kampung Seri Damai dan Bandar Baru Jaya Gading serta Kawasan Perindustrian Gebeng.

"Sebanyak 44 kes positif direkodkan hasil ujian saringan terhadap 466 orang dengan kadar positif 9.4 peratus di Jaya Gading.

"Sebanyak 56 kes positif pula direkodkan dengan kadar positif 1.3 peratus di kawasan perindustrian itu," katanya dalam kenyataannya hari ini.

Menurutnya, PKPD di Sabah pula membabitkan Kampung Ongkilan, Kota Marudu; Kampung Pulutan, Kampung Murni C di Nabawan; Kampung Bolong Baru, Tuaran; Kampung Tamalang, Kampung Tuguson di Kota Belud dan Kampung Bergosong, Pulau Sebatik di Tawau.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat peningkatan ketara kes di lokaliti berkenaan.

Menurutnya, secara keseluruhan sebanyak 79 kes positif direkodkan di kesemua lokaliti terbabit dengan kadar positiviti antara 5.8 peratus hingga 56.25 peratus.

"Prosedur operasi standard (SOP) bagi kesemua PKPD itu adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini. Maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PKPD di tujuh mukim dalam daerah Kuantan, Pahang iaitu Beserah, Kuala Kuantan 1 dan 2, Penor, Sungai Karang, Ulu Kuantan serta Ulu Lepar akan ditamatkan seperti dijadual.

Menurut beliau, begitu juga PKPD di Taman Abaka, Ladang Table di Tawau, Sabah ditamatkan seperti yang dijadualkan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 6:43 PM