PELITUP muka. FOTO ARKIB NSTP
PELITUP muka. FOTO ARKIB NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Jangkitan kes sporadik Covid-19 di negara ini adalah berpunca daripada kontak sosial yang tidak menggunakan pelitup muka.

Pakar Virologi Universiti Malaya (UM) Prof Dr Sazaly Abu Bakar berkata, pergaulan sosial adalah cara penularan utama di mana ramai yang terjangkit terdiri dari kenalan atau mempunyai talian persaudaraan.

"Ia berlaku melalui kitaran dari tempat kerja ke komuniti dan balik ke tempat kerja dan berbalik semula ke komuniti semula.

"Bagi mengekang penularan sporadik ini kitaran seperti ini mesti diputuskan untuk menghentikan rantaian penularan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ditanya berkenaan keberkesanan penggunaan pelitup muka, Dr Sazaly berkata, penggunaan pelitup muka tidak ada kena mengena dengan jangkitan kes sporadik sebaliknya ia disebabkan dengan pergaulan sosial.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan lebih 80 peratus penularan kes Covid-19 di negara ini dalam tempoh sebulan sejak Mei lalu membabitktan jangkitan sporadik yang sehingga kini tidak dapat dikesan puncanya.

Malah, jangkitan kes positif sepanjang bulan itu adalah paling teruk dengan kes tertinggi berjumlah 9,020 kes pada 29 Mei lalu sekali gus mengundang kebimbangan ramai.

Dalam tempoh 1 Mei hingga 31 Mei, kes positif merekodkan sebanyak 191,915 kes dan sejumlah 153,352 kes atau kira-kira 80 peratus daripadanya adalah kes sporadik.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 6:01 PM