GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
Nuraliawati Sabri
am@hmetro.com.my


Melaka: Guna aplikasi WeChat untuk 'menjaja' tubuh pada harga antara RM240 hingga RM250.

Aktiviti maksiat dilakukan tiga warga asing Thailand di sebuah hotel di Melaka Raya di sini, terbongkar selepas lokasi itu diserbu polis.

Kesemua mereka ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah yang melakukan operasi khas jam 3 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, selain wanita warga Thailand itu, polis turut menahan seorang lelaki tempatan yang juga penjaga hotel berkenaan.

Menurutnya, kesemua suspek ditahan di dalam bilik berasingan ketika pihak polis menjalankan pemeriksaan di hotel berkenaan.

"Siasatan dilakukan mendapati wanita warga asing ini mempromosikan perkhidmatan tidak bermoral mereka melalui aplikasi WeChat untuk mencari pelanggan.

"Mereka dikatakan sudah menjalankan aktiviti pelacuran ini sejak sebulan lalu dengan menerima sekurang-kurangnya dua pelanggan sehari," katanya.

Beliau berkata, walaupun promosi aktiviti maksiat itu dilakukan secara maya namun transaksi pembayaran dibuat secara tunai.

"Pembayaran hanya dibuat apabila mereka bersemuka di bilik hotel dengan kadar bayaran antara RM240 hingga RM250 bagi setiap perkhidmatan," katanya.

Afzanizar berkata, susulan itu penjaga premis berusia 23 tahun dikompaun RM10,000 mengikut Perkara 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (LLDKTJ) 2021 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kesemua wanita warga asing itu dan penjaga premis dibawa balik ke IPD Melaka Tengah untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 4:08 PM