FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kajian lebih menyeluruh berkaitan penggunaan serta keberkesanan Ivermectin untuk merawat pesakit Covid-19 perlu dilakukan secara bebas oleh konsortium universiti.

Pakar Virologi Universiti Malaya Profesor Dr Sazaly Abu Bakar berkata, kajian yang dilakukan itu perlu membabitkan lebih ramai peserta iaitu sekurang-kurangnya 3,000 orang.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang membuat kajian mengenai keberkesanan Invermectin yang akan membabitkan 500 pesakit.

"Saya mencadangkan kajian lebih menyeluruh dilakukan secara bebas oleh konsortium universiti-universiti yang akan membabitkan lebih ramai peserta iaitu sekurang-kurangnya 3,000 orang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dr Sazaly berkata, sehingga kini, Ivermectin masih tidak diluluskan KKM untuk rawatan Covid-19 walaupun beberapa kajian dan penggunaannya di luar negara menunjukkan kesan yang memberangsangkan.

"Namun, ia masih belum mendapat persetujuan Pertubuhan Kesihatan Sedunia sebagai rawatan atau pencegahan yang boleh digunakan untuk Covid-19.

"Walaupun rakyat percaya, tetapi pengunaan Ivermectin masih tertakluk kepada kelulusan KKM terlebih dahulu," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan KKM dan Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) sudah memulakan ujian klinikal bagi mengkaji kesan penggunaan serta keberkesanan Ivermectin untuk merawat pesakit Covid-19 yang berisiko tinggi di 12 hospital di bawah kementerian itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dipetik berkata, Ivermectin adalah sejenis ubat antiparasit yang diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA).

Menurutnya, ia turut digunakan secara meluas bagi merawat beberapa penyakit tropika terabai termasuk onkoserkiasis, strongiloidiasis dan helminthiases, namun belum ada bukti yang konklusif untuk mengesyorkan penggunaan Ivermectin bagi merawat Covid-19.

Katanya, KKM dan ICR sudah memulakan ujian Keberkesanan Rawatan Ivermectin ke atas Pesakit Covid-19 Berisiko Tinggi (Kajian I-TECH) yang diketuai pakar Penyakit Berjangkit Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dengan dibantu sepasukan pakar dan penyelidik Pusat Penyelidikan Klinikal di 12 hospital di bawah KKM.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 1:55 PM