GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah mengeluarkan garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) khusus pengurusan kematian dan penghormatan terakhir orang bukan Islam ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, ia dilaksanakan berikutan Kluster Pulutan di Nabawan yang dikesan berpunca daripada majlis penghormatan terakhir, semalam.

"Kluster terbabit mencatatkan peningkatan kes jangkitan yang tinggi di lokaliti berkenaan dan ia insiden kedua selepas Kluster Sinsingon Nabawan yang dilaporkan pada 22 Februari lalu.

"Susulan itu, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri

Covid-19 memutuskan untuk mengeluarkan SOP khusus untuk pengurusan kematian dan penghormatan terakhir orang bukan Islam semasa PKP bagi memastikan insiden itu tidak berulang," katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri memperincikan SOP terbabit.

Menurutnya, bagi sesi penghormatan terakhir iaitu semasa si mati di rumah kediaman sebelum pengebumian adalah tidak melebihi tiga hari dan waktu dibenarkan bermula 6 pagi sehingga 6 petang sahaja

"Tempoh masa untuk melawat dan memberi penghormatan terakhir di dalam kediaman si mati tidak melebihi lima minit di samping perkongsian peralatan makan dan minum serta kelengkapan upacara keagamaan tidak dibenarkan.

"Bagi aktiviti keagamaan untuk si mati di dalam rumah, tempoh masa dibenarkan bermula 7 malam sehingga 9 malam dan aktiviti keagamaan haruslah tidak melebihi 10 hari.

"Upacara keagamaan pula hanya dibenarkan untuk ahli keluarga sahaja," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Masidi turut memperincikan SOP semasa si mati berada di rumah urus mayat (funeral parlour) di mana aktiviti penghormatan terakhir dilakukan tidak melebihi tiga hari sebelum pengebumian.

"Masa yang dibenarkan bermula 7 pagi hingga 6 petang dan bagi tempoh masa melawat dan memberi penghormatan terakhir semasa berada di rumah pengebumian tidak melebihi lima minit.

"Proses penghormatan terakhir dibenarkan tidak melebihi tiga orang (termasuk tuan rumah) setiap masa dan pelawat pula dikehendaki beratur mengikut giliran dengan mengambil kira penjarakan fizikal.

"Pelawat perlu segera bersurai selepas memberi penghormatan terakhir. Bagi ahli keluarga atau pelawat yang berumur 60 tahun ke atas dan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun tidak digalakkan hadir," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 9:24 AM