Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kementerian Wilayah Persekutuan akan mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) untuk mencapai imuniti kelompok di kawasan berkenaan menjelang penghujung Ogos ini.

Menterinya Tan Sri Annuar Musa berkata, ketika ini kira-kira 7,000 sehingga 9,000 individu menerima vaksin setiap hari dan jumlah itu perlu dipertingkatkan antara empat ke lima kali ganda untuk mencapai sasaran berkenaan.

Menurutnya, perbincangan sudah diadakan bersama kerajaan dan pihak berkaitan bagi memastikan proses vaksinasi di Wilayah Persekutuan dapat dipercepatkan.

Namun katanya, apa yang dibimbangi ketika ini ialah kesedaran di kalangan masyarakat untuk mendaftar program berkenaan sekaligus menyukarkan usaha mencapai sasaran ditetapkan.

"Oleh itu langkah pertama yang perlu dilakukan adalah memastikan semua penduduk di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan supaya mendaftar PICK yang membolehkan mereka mendapatkan vaksinasi.

"Putrajaya sudah mencapai 100 peratus pendaftaran manakala Kuala Lumpur lebih kurang 70 peratus iaitu terdapat kira-kira 30 peratus lagi belum mendaftar, sementara di Labuan pula 60 peratus sudah mendaftar dan 40 peratus belum mendaftar," katanya ketika sidang media selepas meninjau Program Saringan Komuniti Bersasar Covid-19 Kit Ujian Pantas Antigen (RTK-Ag) di Perumahan Awam Sri Sabah di sini, hari ini.

ANNUAR Musa beramah mesra bersama penduduk ketika hadir pada hari pertama pelaksanaan program saringan Komuniti Bersasar Covid-19 Kit Ujian Pantas Antigen (RTK-Ag) di Perumahan Awam Sri Sabah. FOTO Bernama
ANNUAR Musa beramah mesra bersama penduduk ketika hadir pada hari pertama pelaksanaan program saringan Komuniti Bersasar Covid-19 Kit Ujian Pantas Antigen (RTK-Ag) di Perumahan Awam Sri Sabah. FOTO Bernama

Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, semua pihak perlu melipatgandakan usaha dalam melaksanakan program vaksinasi termasuk keupayaan mendapatkan bekalan vaksinasi yang mencukupi.

Sementara itu, ditanya mengenai pandangan ramai penduduk Kelantan yang berdaftar PICK tetapi tidak tampil menerima vaksin Covid-19, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, kesedaran penduduk negeri itu untuk mendapatkan vaksin sudah meningkat apabila banyak pihak tampil memberikan maklumat.

"Sejak saya memuat naik video rayuan, saya dapati sambutan sangat baik. Selepas itu ada ramai tokoh-tokoh Kelantan lain juga buat seruan sama.

"Tinjauan mendapati ketidakhadiran mereka banyak sebab antaranya anak yang daftar MySejahtera tapi mak dan ayah tak tahu menggunakan aplikasi itu. Jadi mereka tak tahu tarikh janji temu.

"Selain itu, kesedaran yang rendah sebab kes jangkitan rendah. Sekarang bila kes sudah banyak barulah ramai nak dapatkan vaksin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 3:16 PM